IMUNOTERAPI tidak menyebabkan rambut gugur atau kulit kering.
IMUNOTERAPI tidak menyebabkan rambut gugur atau kulit kering.
Siti Zarinah Sahib

Menghidap kanser paru-paru tahap empat pada usia 79 tahun, bukanlah sesuatu yang mudah. Namun bagi Ke Koh, kala disahkan menghidap kanser ini tahun lalu dia menerimanya dengan tenang sambil berusaha mendapatkan rawatan pakar.

Bagi wanita kelahiran Ipoh ini tiada yang mustahil untuk bebas daripada sel kanser seandainya individu itu kuat dan tidak menyerah kalah.

“Ramai pesakit beranggapan kanser adalah penamat kehidupan apatah lagi sekiranya sudah merebak ke tahap kritikal. Namun saya ingin membuktikan anggapan ini tidak tepat. Penghidap kanser masih mempunyai harapan meneruskan kehidupan bersama insan tersayang seandainya mereka mempunyai semangat dan menerima sokongan keluarga,” katanya yang ditemui pada pelancaran rawatan terbaru imunoterapi untuk kanser paru-paru di Malaysia.

Berkongsi pengalaman ini, Koh yang juga bekas guru Bahasa Inggeris mengakui pada 2000 dia turut disahkan menghidap kanser payudara tahap satu namun oleh kerana rawatan awal dilakukan membuatkan sel kanser tidak cepat merebak dan pulih sepenuhnya.

Namun wanita ini diuji semula apabila secara tiba-tiba mengalami demam dan batuk berpanjangan. Selepas pemeriksaan dia disahkan menghidap kanser paru-paru.

“Saya tak tahu dari mana puncanya kerana saya tidak pernah merokok. Namun saya perlu tenang,” katanya yang terus mendapatkan rawatan pakar sebaik disahkan menghidap kanser paru-paru bagi mengelak serangan terus melarat.

Koh menjalani kemoterapi namun ia mendatangkan kesan sampingan seperti kulit menjadi kering dan gatal.

“Keadaan ini menyebabkan ia mengganggu tidur. Kuku kaki dan tangan saya juga berdarah secara tiba-tiba. Malah selera makan saya turut berkurang,” katanya.

Mula didedahkan dengan prosedur rawatan imunoterapi sejak November tahun lalu, Koh cuba mendapatkan maklumat mengenainya. Dia menjalani rawatan sekali setiap tiga minggu.

 PENGHIDAP barah paru-paru ada harapan hidup lama.
PENGHIDAP barah paru-paru ada harapan hidup lama.

“Imunoterapi tidak meninggalkan kesan sampingan berbanding kemoterapi. Ia tidak menyebabkan rambut gugur atau kulit kering. Apa yang saya rasai hanyalah keletihan, mungkin disebabkan terpaksa berulang-alik dari Ipoh ke Kuala Lumpur untuk menjalani rawatan ini,” katanya.

Lebih menggembirakan kerana dia dapat melakukan kerja ringan seperti menyapu dan membersihkan lantai. Melihat fizikalnya pada usia lanjut ini, sememangnya dia seorang yang kuat semangat. Mungkin kerana pendidikan yang dimiliki dan pengalaman sebagai tenaga pengajar membuatkan Koh langsung tidak mengeluh sebaliknya menghadapi kesakitan ini dengan fikiran positif.

“Jangan menyerah kalah seandainya anda disahkan menghidap kanser kerana ia bukan pengakhiran kehidupan. Terus mendapatkan rawatan di hospital dan bukannya bergantung kepada rawatan alternatif semata-mata.

“Selepas mencuba kaedah imunoterapi saya dapati ia sangat berkesan dan memberikan keselesaan. Pada masa sama ia seakan-akan memberi sinar baru untuk kualiti kehidupan yang lebih baik kepada pesakit kanser khususnya wanita. Jangan sesekali menyerah kalah dan dapatkan sokongan ahli keluarga untuk menghadapinya,” katanya memberikan nasihat.

TIDAK mendatangkan kesan sampingan kepada pesakit.
TIDAK mendatangkan kesan sampingan kepada pesakit.

Menurut Perunding Onkologi Klinikal Datuk Dr Mohamed Ibrahim A Wahid, kanser paru-paru adalah di antara kanser utama penyebab kematian di seluruh dunia. Dianggarkan 1.8 juta pesakit dilaporkan dan 1.6 juta kematian dicatatkan pada 2012.

Antara sebab utama peningkatan dalam jumlah kematian penyakit kanser paru-paru disebabkan oleh kelewatan dalam membuat pengesanan awal. Ini ditambah apabila pesakit tidak merasai sebarang simptom ketara sehingga kanser berada pada peringkat lanjutan atau merebak ke bahagian lain.

“Kebiasaannya pesakit hanya merasai tanda biasa seperti batuk berpanjangan, sesak nafas, sakit dada, rasa lesu, kurang selera makan serta penurunan berat badan. Tanda-tanda ini tidak mendatangkan kerisauan kepada pesakit melainkan sekiranya ia mengganggu kualiti hidup mereka,” katanya.

Kemunculan imunoterapi memberikan pilihan rawatan sesuai disebabkan kurang kesan sampingan dengan profil toleransi yang tinggi. Ia amat disyorkan bagi pesakit dengan kanser lanjutan atau pesakit dengan kemoterapi berasaskan platinum yang tidak lagi memberikan kesan rawatan positif.

“Prosedur imunoterapi menggunakan atezolizumab, berupaya memanjangkan jangka hayat pesakit kanser paru-paru. Kajian global mendapati, atezolizumab membantu pesakit hidup 4.2 bulan lebih panjang berbanding mereka di dalam kumpulan ubat lama (docetaxel), selain memberikan tindak balas antitumor tahan lama kepada pesakit selama 16.3 bulan,” katanya.

DR Mohamed Ibrahim
DR Mohamed Ibrahim

Katanya, jika dibandingkan dengan kanser lain seperti payudara, kadar jangka hayat mereka adalah lebih lama dan kehidupan pesakit yang lebih berkualiti selepas tempoh diagnosis dan rawatan.

“Menerusi kaedah ini, penghidap kanser paru-paru tahap empat boleh hidup enam sehingga tujuh tahun lagi. Ia tentunya memberikan sinar baru kepada pesakit kanser paru-paru,” katanya.

Oleh kerana kos rawatan yang tinggi untuk rawatan imunoterapi, Roche Malaysia menerusi Program Bantuan Pesakit Roche memberikan subsidi perubatan membantu pesakit menanggung kos keseluruhan. Bantuan diperkenalkan sejak 2007 dan sehingga kini sudah dinikmati seramai 5,000 pesakit seluruh negara.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 30 Ogos 2018 @ 3:52 PM