DATUK Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi mengangkat tangan bersama ketika mendengar pengumuman tidak rasmi PRN Johor. FOTO Bernama
DATUK Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi mengangkat tangan bersama ketika mendengar pengumuman tidak rasmi PRN Johor. FOTO Bernama
Luqman Arif Abdul Karim


Johor Bahru: Datuk Seri Hasni Mohammad akan terus diberikan kepercayaan menjadi Menteri Besar Johor, selepas mendapat perkenan Sultan Johor, Sultan Ibrahim Iskandar.

Pengerusi Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, ketika menyuarakan jaminan itu berkata nama Pengerusi Badan Perhubungan Umno Johor berkenaan akan dikemukakan kepada baginda untuk pertimbangan selanjutnya.

Tanpa memetik sebarang nama lain, katanya, pencalonan tunggal sedemikian ialah demi memberi ruang kepada kestabilan pentadbiran kerajaan negeri dan jaminan terhadap pelbagai usaha pembangunan yang ingin dirintis.

"Saya akan mengemukakan nama Datuk Seri Hasni agar dapat perkenan Tuanku dan boleh teruskan tugas sebagai Menteri Besar Johor.

"Seperti disebutkan bahawa ikhtiar Johor akan dilaksanakan dan kami sebagai kepemimpinan pusat akan terus membantu Hasni bagi melaksanakan semua ikrar atau ikhtiar Johor ini secepat mungkin, dengan dimulakan oleh Belanjawan Johor 2023.

"Untuk seluruh pengundi Johor, bagi pihak BN, kami ingin ucapkan terima kasih kepada seluruh pengundi, tetapi jangan lupa untuk undi BN dalam PRU-15 (Pilihan Raya Umum Ke-15) akan datang," katanya pada sidang media di ibu pejabat Umno Johor, di sini, hari ini.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menerusi laman sesawangnya setakat tengah malam tadi mengesahkan bahawa BN melakar kemenangan selesa, dengan majoriti dua pertiga iaitu 40 daripada 56 kerusi Dewan Undangan Negeri (Dun) Johor, diikuti Pakatan Harapan (PH) sebanyak 11 kerusi, Perikatan Nasional (tiga) dan masing-masing satu kerusi oleh Ikatan Demokratik Malaysia (Muda) serta Parti Keadilan Rakyat (PKR).

Ahmad Zahid turut mengambil kesempatan menzahirkan penghargaan dan menjunjung kasih atas perkenan Sultan Johor sebelum ini untuk membubarkan Dun, sekali gus mengembalikan mandat kepada rakyat di negeri berkenaan.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 13 Mac 2022 @ 8:35 AM