ONN Hafiz dikatakan bakal menjadi Menteri Besar Johor ke-19. FOTO NSTP
ONN Hafiz dikatakan bakal menjadi Menteri Besar Johor ke-19. FOTO NSTP
Mohamed Farid Noh


Johor Bahru: Bekas Exco Pelancongan, Belia dan Sukan Johor Datuk Onn Hafiz Ghazi, dipercayai hampir pasti bakal dilantik menjadi Menteri Besar Johor ke-19, menurut sumber Barisan Nasional (BN).

Sumber itu berkata, momentum pelantikan Onn Hafiz yang memenangi kerusi Dewan Undangan Negeri (Dun) Machap semakin kuat apabila parti itu berjaya meraih kemenangan dua pertiga pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor, Sabtu lalu.

"Ura-ura Onn Hafiz mahu diangkat menjadi Menteri Besar Johor sudah mula kedengaran sejak PRN Johor mahu diadakan lagi.

"Namun, ia reda sebentar di sebalik kebimbangan sesetengah pemimpin BN ketika kempen, sama ada parti mampu memenangi kerusi mencukupi bagi menubuhkan kerajaan negeri, berikutan kempen Perikatan Nasional (PN) yang sangat agresif.

"Bagaimanapun, apabila BN akhirnya berjaya dengan kejayaan cemerlang meraih 40 kerusi, khabar angin itu (Onn Hafiz jadi MB) bertiup kencang semula dan semakin kuat hari ini.

"Melihat situasi semasa yang menyaksikan Pengerusi BN, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dititah menghadap Sultan Johor Sultan Ibrahim Iskandar dan kenyataan terbaharu Pengerusi BN Johor, Datuk Seri Hasni Mohammad, seolah-olah sudah ada kompromi untuk memberi laluan kepada Onn Hafiz dilantik sebagai MB ke-19," katanya ketika dihubungi.

Terdahulu, Hasni yang juga Pengerusi Umno Johor dilaporkan mencadangkan pucuk pimpinan parti memilih orang muda untuk memimpin Johor.

Hasni dilaporkan berkata, ia berikutan orang muda mampu memberikan idea dan sumbangan bermakna dalam pembangunan Johor.

"Melihat kepada sokongan dan kedudukan orang muda yang penting dalam pembangunan Johor dan demi kemakmuran negeri yang berpanjangan, saya mencadangkan pucuk pimpinan parti memilih orang muda untuk memimpin negeri," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Kelmarin, Hasni dilaporkan akan dicadangkan sebagai calon tunggal Menteri Besar untuk mendapat perkenan Sultan Johor.

Ahmad Zahid yang juga Presiden Umno dilaporkan berkata, nama Pengerusi Badan Perhubungan Umno Johor itu akan dikemukakan kepada baginda untuk pertimbangan selanjutnya.

Onn Hafiz, 44, adalah cicit kepada Pengasas dan Presiden Umno Datuk Onn Jaafar.

Jika Onn Hafiz dilantik sebagai Menteri Besar ke-19, beliau mengulangi sejarah moyangnya itu yang dilantik sebagai Menteri Besar Johor pada 1 Jun 1947.

Onn Hafiz yang memenangi kerusi Dun Layang-Layang pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14) adalah muka baharu yang dilantik ke barisan Exco Makmur Johor, selepas Hasni dilantik sebagai Menteri Besar ke-18 pada 28 Februari 2020.

Onn memegang portfolio Pelancongan, Belia Dan Sukan selain aktif dalam advokasi orang muda termasuk menerusi pertubuhan bukan kerajaan Southern Volunteers, yang ditubuhkan hasil visi Tunku Mahkota Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim.

Onn Hafiz yang juga bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Layang-Layang juga adalah anak saudara kepada Ketua Umno Bahagian Sembrong, Datuk Seri Hishammuddin Hussein, yang juga Menteri Kanan Pertahanan.

Beliau memenangi kerusi Machap pada PRN Johor yang berakhir kelmarin.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 14 Mac 2022 @ 9:47 PM