Hasni. FOTO Arkib NSTP
Hasni. FOTO Arkib NSTP
Mohamed Farid Noh


Johor Bahru: Pengerusi Barisan Nasional (BN) Johor, Datuk Seri Hasni Mohammad mencadangkan pucuk pimpinan parti memilih orang muda untuk memimpin Johor.

Hasni yang juga Pengerusi Umno Johor berkata, ia berikutan orang muda mampu memberikan idea dan sumbangan bermakna dalam pembangunan Johor.

"Melihat kepada sokongan dan kedudukan orang muda yang penting dalam pembangunan Johor dan demi kemakmuran negeri yang berpanjangan, saya mencadangkan pucuk pimpinan parti memilih orang muda untuk memimpin negeri," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Kenyataan terbaru Hasni yang memenangi kerusi Dewan Undangan Negeri (Dun) Benut itu seolah-olah mengesahkan khabar angin yang menyatakan nama lain bakal dilantik sebagai Menteri Besar Johor ke-19.

Ia susulan khabar angin terbaru yang menyebut kini timbul nama lain bagi jawatan Menteri Besar.

Nama lain yang disebut-sebut dilantik sebagai Menteri Besar adalah Datuk Onn Hafiz Ghazi, bekas Exco Belia dan Sukan Johor yang juga pemenang kerusi Dun Machap dan Ahli Majlis Tertinggi Umno Datuk Mohd Puad Zarkashi yang juga pemenang Dun Rengit.

Terdahulu media melaporkan, Sultan Johor Sultan Ibrahim Iskandar dipercayai menitahkan Pengerusi BN Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menghadap baginda.

Difahamkan ia susulan kemenangan BN dalam Pilihan Raya Negeri Johor (PRN) kelmarin bagi membolehkan Menteri Besar Johor yang ke-19 dilantik sekali gus mengangkat sumpah.

Kelmarin, Hasni dilaporkan akan dicadangkan sebagai calon tunggal Menteri Besar untuk mendapat perkenan Sultan Johor.

Ahmad Zahid yang juga Presiden Umno dilaporkan berkata, nama Pengerusi Badan Perhubungan Umno Johor itu akan dikemukakan kepada baginda untuk pertimbangan selanjutnya.

Beliau dilaporkan tidak menyebut sebarang nama lain berkata, pencalonan tunggal sedemikian bertujuan memberi ruang kepada kestabilan pentadbiran kerajaan negeri dan jaminan terhadap pelbagai usaha pembangunan yang ingin dirintis.

Pada PRN Johor yang berakhir kelmarin, Hasni menang dengan majoriti selesa lebih 5,000 undi mengatasi tiga pencabarnya di Dun Benut.

Pada 28 Februari 2020, Hasni sah menjadi Menteri Besar Johor yang ke-18 selepas mengangkat sumpah di hadapan Sultan Ibrahim.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 14 Mac 2022 @ 7:36 PM