KENNY (dari kiri), Akram dan Nazmi Faiz. FOTO NSTP
KENNY (dari kiri), Akram dan Nazmi Faiz. FOTO NSTP
Firdaus Hashim


Kuala Lumpur: Benteng skuad Harimau Malaya kemungkinan berwajah baharu di bawah kendalian jurulatih dari Korea Selatan, Kim Pan-gon apabila tonggak kental Kuala Lumpur City FC (KL City), Kenny Pallraj berada dalam radar kem negara.

Menurut sumber, aksi mantap Kenny dalam dua perlawanan awal Liga Malaysia termasuk ketika tewas 0-1 di tangan Johor Darul Ta'zim (JDT) dalam aksi Piala Sumbangsih serta perlawanan Liga Super yang menyaksikan seri 3-3 berdepan Selangor nyata memikat hati Pan-gon.

Selain Kenny yang juga bekas pemain Perak FC itu, seorang lagi pemain KL City, Akram Mahinan turut mencuri tumpuan bagi menguatkan bahagian tengah bertahan skuad negara.

"Pan-gon ada bercakap dia minat dengan dua pemain KL City, Kenny dan Akram. Kedua-duanya menepati ciri-ciri beliau mahukan.

"Mungkin Akram dah biasa dipanggil sebelum ini, tapi Kenny jarang. Kalau dipanggil pun dulu ketika di bawah Tan Cheng Hoe, Kenny banyak main di posisi asal di tengah.

"Tapi Pan-gon nampaknya mahu menggunakannya di bahagian pertahanan seperti mana peranan yang dia mainkan bersama KL City," kata sumber itu.

Jika ia menjadi kenyataan, ia adalah penampilan pertama buat Kenny bermain di posisi itu di peringkat antarabangsa.

Malah, ia bakal menyaksikan kedudukan Aidil Zafuan Abdul Radzak selaku tonggak tetap di bahagian itu tergugat, ketika pemain JDT itu sendiri dilihat memanaskan bangku simpanan dalam dua aksi Liga Super setakat ini.

Selain itu, difahamkan juga kelibat tonggak tengah skuad Harimau Selatan, Nazmi Faiz Mansor turut memikat perhatian barisan kejurulatihan negara.

Kepintaran Nazmi dalam menjana serangan JDT dengan lorongan bola tepat ke penyerang dianggap bersesuaian dengan corak permainan 'ala Barcelona' yang akan diterapkan Pan-gon, di mana penolong jurulatihnya dari Sepanyol, Pau Marti Vicente adalah bekas jurulatih dengan pasukan Barcelona B.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 9 Mac 2022 @ 6:32 PM