GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
Nur Izzati Mohamad


Bukit Mertajam: Lelaki ditemukan meninggal dunia dengan terdapat kira-kira 12 kesan tembakan di tingkat tiga tempat letak kenderaan sebuah kondominium mewah di Jalan Baru, Perai, di sini, malam tadi.

Dalam kejadian 8.45 malam itu, mangsa, lelaki warga tempatan berusia 31 tahun ditemukan dalam keadaan tidak sedarkan diri.

Ketua Polis negeri, Datuk Mohd Shuhaily Mohd Zain berkata, polis menjalankan siasatan selepas memperoleh maklumat berhubung insiden berkenaan.

"Ketika di lokasi, polis menemui 12 kelongsong peluru di sekitar mayat mangsa yang dalam keadaan tertiarap dan berlumuran darah.

"Siasatan awal mendapati mangsa dipercayai diserang dua suspek bersenjatakan pistol ," katanya di sini, hari ini.

Jelasnya, mangsa yang turut mempunyai pelbagai rekod jenayah, dipercayai menyewa di kondominium itu sejak lima bulan lalu.

"Polis tidak menolak kemungkinan motif kejadian ini adalah berpunca daripada dendam, namun siasatan lanjut masih diteruskan," katanya.


Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 1 Februari 2022 @ 9:43 AM