Siti Aminah Mohd Yusof


Georgetown: Tiada elemen perlakuan jenayah dikaitkan dalam kes kematian seorang remaja perempuan yang dipercayai terjatuh dari tingkat 11, sebuah kondominium di Persiaran Bayan Indah, Bayan Baru, di sini semalam.

Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Mohd Shuhaily Mohd Zain berkata, pihaknya sudah menemubual ibu bapa remaja itu dan mendapati tiada perkara luar biasa atau mencurigakan yang dikenal pasti menjadi punca kejadian itu berlaku.

"Justeru, kita menjalankan siasatan di bawah kes kematian mengejut tetapi sekiranya kita dapati apa-apa sahaja penemuan baharu pada masa depan kita akan akan sentiasa dapat buka kertas siasatan.

"Ibu bapa remaja itu juga agak keliru dengan apa yang sebenarnya berlaku dan dia dikatakan seorang anak yang pendiam dan suka bersendirian," katanya kepada pemberita di Ibu Pejabat Kontinjen (IPK) Pulau Pinang di sini, hari ini.

Mohd Shuhaily berkata, beliau juga akan mengarahkan pegawai penyiasat untuk ke sekolah bagi mendapatkan pandangan guru mengenai remaja itu sekali gus memastikan segala aspek yang menjurus insiden itu diperhatikan.

Mayat mangsa ditemukan dalam keadaan tertiarap di bahagian bumbung aras satu bangunan kondominium terbabit kira-kira jam 6.30 pagi semalam.

Difahamkan remaja itu turut meninggalkan nota bunuh diri namun tidak menyatakan punca dia berbuat demikian.

Terdahulu, Mohd Shuhaily mewakili Unit Polis Pelancong (UPP) Kontinjen Pulau Pinang menerima sumbangan 15 basikal bukit daripada Exco Pelancongan dan Ekonomi Kreatif negeri, Yeoh Soon Hin dengan nilai keseluruhan berjumlah RM30,000.

Beliau berkata, rondaan UPP negeri meliputi kawasan yang menjadi tumpuan pelancong seperti di Lebuh Armenian, Jeti Chew, Lebuh Chulia dan Queensbay.

Selain itu, anggota serta pegawai bertugas turut dihantar mempelajari kursus bahasa asing seperti Bahasa Jepun selain Bahasa Inggeris untuk memudahkan urusan komunikasi dengan pelancong.

"Penggunaan basikal dalam rondaan mencegah jenayah dapat memudahkan penugasan anggota untuk mengambil tindakan dalam kejadian jenayah atau situasi kecemasan terutamanya di kawasan yang sukar dilalui selain menggalakkan gaya hidup sihat dan mesra alam," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 30 Ogos 2022 @ 5:40 PM