Petugas menunggu kehadiran orang ramai untuk menerima dos penggalak Covid-19 di PPV Ideal Convention Centre (IDCC) Shah Alam pada 27 Januari lalu. Foto Hairul Anuar Rahim
Petugas menunggu kehadiran orang ramai untuk menerima dos penggalak Covid-19 di PPV Ideal Convention Centre (IDCC) Shah Alam pada 27 Januari lalu. Foto Hairul Anuar Rahim
Amir Abd Hamid

Kuala Lumpur: Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mengesan sebanyak 14 lagi kluster baharu Covid-19 hari ini menjadikan jumlah keseluruhan kluster di Malaysia sejak jangkitan bermula adalah 6,413 kluster.

Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, daripada jumlah keseluruhan kluster berkenaan, sebanyak 6,112 kluster sudah tamat, manakala kluster masih aktif dengan kebolehjangkitan adalah 301 kluster.

"Perincian kes harian Covid-19 ialah sebanyak 3,056 kes sembuh menjadikan 2,780,771 kes kumulatif atau 97.0 peratus.

"Kes baharu jangkitan pula 4,915 kes menjadikan 2,865,984 kes kumulatif. Daripada jumlah kes harian hari ini, 188 adalah kes import yang membabitkan 111 warganegara (59.0 peratus) dan 77 lagi bukan warganegara (41.0 peratus).

"Kes penularan tempatan 4,727 kes iaitu 4,573 warganegara (96.7 peratus) dan 154 bukan warganegara (3.3 peratus)," katanya dalam kenyataan media mengenai situasi terkini penularan Covid-19 hari ini.

Menurutnya, bagi kes memerlukan rawatan di Unit Rawatan Rapi (ICU) 120 kes (103 kes disahkan Covid-19; 17 kes disyaki, kemungkinan dan kes dalam siasatan).

Beliau berkata, kes memerlukan bantuan pernafasan pula sebanyak 65 kes (50 kes disahkan Covid-19; 15 kes disyaki, kemungkinan dan kes dalam siasatan).

"Daripada 4,915 kes harian yang dilaporkan pada hari ini, KKM mendapati sebanyak 39 kes (0.8 peratus) membabitkan kategori 3, 4, dan 5 serta 4,876 kes (99.2 peratus) lagi adalah terdiri daripada kategori 1 dan 2," katanya.

Dr Noor Hisham berkata, maklumat terperinci lain berkenaan situasi semasa jangkitan dan penularan Covid-19 di Malaysia akan dimuat naik ke laman web COVIDNOW di https://covidnow.moh.gov.my dan data akan dikemas kini pada 12 tengah malam setiap hari.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 30 January 2022 @ 6:46 PM