GAMBAR hiasan. FOTO Hairul Anuar Rahim
GAMBAR hiasan. FOTO Hairul Anuar Rahim
Suraya Roslan


Kuala Lumpur: Sebanyak 98 peratus atau 4,273 daripada 4,362 kes harian baharu jangkitan Covid-19 hari ini adalah terdiri daripada pesakit kategori 1 dan 2.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, daripada jumlah itu juga, 89 kes atau dua peratus adalah pesakit kategori 3, 4 dan 5.

Beliau berkata, jumlah kes baharu Covid-19 hari ini mencatatkan peningkatan kepada 4,362 kes berbanding 4,262 kes yang direkodkan semalam.

"Data terbaharu hari ini menjadikan jumlah kumulatif kes di Malaysia mencecah 2,711,764 kes setakat ini.

"Kes sembuh adalah 5,098 kes menjadikan 2,625,245 kes kumulatif atau 96.8 peratus.

"Sebanyak 28 kes import dicatatkan membabitkan 13 warganegara dan 15 bukan warganegara," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Beliau berkata, penularan kes tempatan hari ini adalah sebanyak 4,334 kes iaitu 4,099 warganegara (94.6 peratus) dan 235 bukan warganegara (5.4 peratus).

Katanya, kes yang memerlukan rawatan di Unit Rawatan Rapi (ICU) adalah 400 kes membabitkan 315 kes disahkan Covid-19; 85 kes disyaki, kemungkinan, dan kes dalam siasatan.

Menurutnya, sebanyak 198 kes memerlukan bantuan pernafasan (143 kes disahkan Covid-19; 55 kes disyaki, kemungkinan, dan kes dalam siasatan).

"Jumlah keseluruhan kluster sejak bermulanya jangkitan Covid-19 di negara ini adalah sebanyak 6,074 kluster termasuk 12 kluster baharu dicatatkan hari ini.

"Sebanyak 5,817 kluster sudah tamat manakala jumlah kluster aktif dengan kebolehjangkitan setakat hari ini adalah 257 kluster," katanya.

Katanya, maklumat terperinci akan dimuatnaik ke laman COVIDNOW.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 17 Disember 2021 @ 6:58 PM