GAMBAR hiasan. FOTO arkib NSTP
GAMBAR hiasan. FOTO arkib NSTP
Amir Abd Hamid


Kuala Lumpur: Kes baharu jangkitan Covid-19 yang dilaporkan semalam menurun kepada 26,832 kes berbanding 28,825 kes kelmarin.

Ketua Pengarah Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, kes baharu semalam menjadikan sebanyak 3,221,680 kes kumulatif jangkitan virus itu di negara ini.

Beliau berkata, bagi kes sembuh pula sebanyak 18,459 kes direkodkan semalam menjadikan 2,937,655 kes sembuh kumulatif.

"Daripada kes harian semalam, sebanyak 68 kes import dicatatkan iaitu membabitkan 28 warganegara (41.2 peratus) dan 40 bukan warganegara (58.8 peratus).

"Penularan kes tempatan pula membabitkan 26,764 kes iaitu 26,054 warganegara (97.3 peratus) dan 710 bukan warganegara (2.7 peratus)," katanya dalam kenyataan media hari ini mengenai status terkini kes Covid-19 di Malaysia pada 20 Februari 2022.

Beliau berkata, semalam, kes yang memerlukan rawatan di Unit Rawatan Rapi (ICU) adalah 261 kes (98 kes disahkan Covid-19; 163 kes disyaki kemungkinan dan kes dalam siasatan).

Kes memerlukan bantuan pernafasan pula,membabitkan 139 kes (61 kes disahkan Covid-19; 78 kes disyaki, kemungkinan dan kes dalam siasatan).

"Daripada 26,832 kes harian yang dilaporkan pada 20 Februari 2022 sebanyak 133 kes (0.5 peratus) adalah kategori 3, 4, dan 5; dan 26,699 kes (99.5 peratus) lagi adalah terdiri daripada kategori 1 dan 2.

"Pecahan kategori kes adalah kategori 1 sebanyak 8,469 kes (31.56 peratus); kategori 2 sebanyak 18,230 kes (67.94 peratus); kategori 3 sebanyak 66 kes (0.25 peratus); kategori 4 sebanyak 38 kes (0.14 peratus) dan kategori 5 sebanyak 29 kes (0.11 peratus)," katanya.

Beliau berkata, daripada 133 kes Covid-19 kategori 3, 4 dan 5 yang baharu dilaporkan pada 20 Februari, 29 kes (21.80 peratus) tidak divaksinasi atau belum lengkap divaksinasi; 75 kes (56.39 peratus) sudah menerima dua dos vaksin Covid-19; 29 kes (21.80 peratus) sudah menerima dos penggalak; 62 kes (46.62 peratus) berusia 60 tahun dan ke atas; 47 kes (35.34 peratus) mempunyai komorbid; dan enam kes (4.51 peratus) ibu mengandung.

Dr Noor Hisham berkata, dilaporkan 11 kes (4.10 peratus daripada keseluruhan 28,825 kes) meninggal dunia, termasuk enam kes (0.02 peratus daripada keseluruhan 28,825 kes) adalahkes kematian di luar hospital (BID).

"Sebanyak 15 kluster baharu dilaporkan kepada Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) semalam.

"Ini menjadikan jumlah keseluruhan kluster Covid-19 sejak wabak bermula di negara ini adalah 6,719 kluster.

"Daripada keseluruhan jumlah kluster itu, sebanyak 6,219 kluster sudah tamat. Ketika ini jumlah kluster aktif dengan kebolehjangkitan adalah 500 kluster," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 21 Februari 2022 @ 10:55 AM