Ekhwan Haque Fazlul Haque


Putrajaya: Pengerusi Lembaga Penasihat Pencegahan Rasuah (LPPR), Tan Sri Abu Zahar Ujang bersedia disiasat sekiranya berlaku sebarang salah laku sepanjang mengetuai lembaga itu.

Abu Zahar berkata, beliau juga bersedia menyerahkan kedudukannya dalam LPPR kepada budi bicara Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan kerajaan atas isu yang berlaku dalam Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Beliau berkata, dalam isu membabitkan Ketua Pesuruhjaya SPRM Tan Sri Azam Baki, beliau mengakui terdapat percanggahan pendapat antaranya dengan enam lagi Ahli Jawatankuasa LPPR dalam kenyataan media dikeluarkan 5 Januari lalu.

"Saya ada berkomunikasi dengan Ahli LPPR antaranya Datuk Seri Azman Ujang, Datuk David Chua Kok Tee dan Tan Sri Ismail Omar mengenai isu berkaitan dakwaan salah laku terhadap Tan Sri Azam Baki.

"Mereka bersetuju untuk LPPR mengadakan mesyuarat pada 11 Januari (hari ini) namun mereka tiba-tiba mengadakan mesyuarat dan mengeluarkan kenyataan pada 8 Januari tanpa pengetahuan saya," katanya dalam sidang media khas di Ibu Pejabat SPRM, di sini, hari ini.

Abu Zahar berkata, kenyataan media yang dikeluarkan enam ahli jawatankuasa LPPR itu begitu dikesali.

Katanya, dalam kenyataan media yang dikeluarkan 5 Januari lalu, beliau menegaskan siasatan berkaitan dakwaan salah laku Azam masih terbuka oleh mana-mana agensi yang mempunyai kuasa.

Menurutnya, LPPR tidak berhasrat untuk menghalang siasatan lanjut malah atas konsep kedaulatan undang-undang supaya nama dan integriti SPRM sentiasa berada di tahap tertinggi.

"Sekiranya kenyataan media 5 Januari lalu tidak menampilkan fahaman yang tidak dihasratkan sehingga menjatuhkan nama SPRM maka saya serahkan budi bicara mutlak Yang di-Pertuan Agong dan kerajaan.

"Ingin sekali lagi saya tegaskan kedudukan institusi SPRM perlu terus mendapat sokongan rakyat bertujuan memerangi jenayah rasuah dan salah guna kuasa," katanya.

SPRM 'panas' sejak beberapa hari lalu susulan dakwaan salah guna kuasa Ketua Pesuruhjaya yang didakwa mempunyai kepentingan saham dalam beberapa syarikat.

Azam dalam sidang media khas menegaskan beliau tidak melakukan kesalahan dan tuduhan terdapat 'konflik kepentingan' seperti didakwa sesetengah pihak adalah tidak berasas.

Katanya, tuduhan yang mengatakan beliau mengawal banyak syarikat juga adalah penipuan dan sengaja dicipta untuk mencipta persepsi negatif terhadapnya.

 Pengerusi LPPR, Tan Sri Abu Zahar Ujang ketika sidang media di Putrajaya. FOTO Mohd Fadli Hamzah
Pengerusi LPPR, Tan Sri Abu Zahar Ujang ketika sidang media di Putrajaya. FOTO Mohd Fadli Hamzah

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 11 January 2022 @ 12:07 PM