AZAM Baki. FOTO BERNAMA
AZAM Baki. FOTO BERNAMA
BERNAMA

Kuala Lumpur: Suruhanjaya Sekuriti (SC) akan mendapatkan penjelasan daripada pihak yang terbabit termasuk Tan Sri Azam Baki, selain mengesahkan kenyataan yang telah dibuat dan mengumpulkan bukti berkaitan akaun dagangan saham miliknya yang digunakan oleh adiknya, Nasir bagi pembelian saham pada 2015.

Dalam satu kenyataan hari ini, SC berkata di bawah seksyen 25 Akta Perindustian Sekuriti (Depositori Pusat) 1991 (SICDA), setiap akaun sekuriti yang dibuka dengan depositori pusat mesti menggunakan nama pemilik manfaat sekuriti yang dideposit atau atas penama yang diberi kuasa atau dibenarkan.

Menurut suruhanjaya itu, seksyen 29A SICDA itu turut menetapkan semua urus niaga sekuriti itu hanya boleh dilakukan oleh pemilik manfaat sekuriti atau penama yang sah.

Dakwaan bahawa Azam yang juga Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mempunyai kepentingan dan pegangan saham dalam beberapa syarikat, telah menjadi tular dalam media sosial.

Dalam sidang media semalam, beliau menafikan tuduhan mempunyai kawalan ke atas banyak syarikat termasuk syarikat konglomerat serta menyifatkannya sebagai tohmahan berniat jahat.

Selain itu, Lembaga Penasihat Pencegahan Rasuah (LPPR) - satu daripada lima badan pemantau bebas SPRM pada sidang media khas semalam, mendapati tiada sebarang perlakuan jenayah atau percanggahan kepentingan melibatkan Azam dalam urus niaga saham pada 2015.

Pengerusi LPPR Tan Sri Abu Zahar Ujang berkata, LPPR dalam mesyuarat khas pada 24 November 2021, telah mendapatkan penjelasan Azam berkaitan perkara itu dan beliau berkata akaun sahamnya telah digunakan oleh Nasir untuk membeli saham-saham pada tahun tersebut.

Abu Zahar berkata pembelian saham terbabit telah dibuat di pasaran saham terbuka dan tiada sebarang percanggahan kepentingan dan saham berkenaan telah dipindahkan kepada Nasir pada tahun sama.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 6 January 2022 @ 6:36 PM