Azam Baki.
Azam Baki.
Hafidzul Hilmi Mohd Noor


Kuala Lumpur: Polis Diraja Malaysia (PDRM) mengesahkan menerima laporan polis yang dibuat berhubung dakwaan pembelian saham oleh adik Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Tan Sri Azam Baki.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Datuk Seri Abd Jalil Hassan dalam kenyataan ringkas berkata, laporan polis itu sudah dirujuk kepada Suruhanjaya Sekuriti (SC) untuk tindakan selanjutnya.

Sebelum ini tular di media sosial dakwaan Azam memiliki kepentingan dan pemilikan saham dalam beberapa syarikat.

Azam pada sidang media pada Rabu berkata dalam penjelasannya kepada panel Lembaga Penasihat Pencegahan Rasuah (LPPR), akaun saham beliau digunakan oleh adiknya untuk membeli saham di pasaran terbuka dengan pembiayaan sendiri.

Pada hari sama, Pengerusi LPPR SPRM Abu Zahar Ujang sebelum ini membela Azam dan membersihkannya daripada melakukan sebarang salah laku.

Namun hari ini, enam ahli lembaga pengarah LPPR mempertikaikan perkara ini dengan mengatakan Abu Zahar hanya bercakap atas kapasitinya sendiri.

Dalam kenyataan itu, ahli lembaga pengarah berkata mereka sudah mencadangkan supaya kes Azam dirujuk kepada sama ada jawatankuasa bebas, jawatankuasa pilihan parlimen mengenai rasuah atau panel aduan SPRM.

Dalam perkembangan sama, Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC) dalam kenyataan semalam menyebut akan mendapatkan penjelasan daripada Azam selain mengesahkan kenyataan yang dibuat serta mengumpulkan bukti berkaitan akaun dagangan saham miliknya yang digunakan oleh adiknya, Nasir, bagi pembelian saham pada 2015.

Menurut kenyataan itu di bawah Seksyen 25 SICDA, setiap akaun sekuriti yang dibuka dengan depositori pusat mesti menggunakan nama pemilik manfaat sekuriti yang dideposit atau atas penama yang diberi kuasa atau dibenarkan.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 8 January 2022 @ 10:10 PM