KHAI hargai pengikut setia sehingga setiap keputusan turut ambil pendapat mereka. FOTO Eizairi Shamsudin
KHAI hargai pengikut setia sehingga setiap keputusan turut ambil pendapat mereka. FOTO Eizairi Shamsudin
Syafil Syazwan Jefri


Kerjaya seseorang selebriti tidak hanya bergantung kepada kualiti hasil kerjanya. Antara faktor utama adalah bagaimana sokongan yang diterima daripada peminat.

Bagi penyanyi, Khai Bahar, hubungan baik antara dia dan kumpulan peminat sentiasa menjadi keutamaan.

Berkesempatan bertemu dan mewawancara figura yang berasal dari Perlis, Indera Kayangan ini, Khai berkongsi mengenai bagaimana dia menghargai peminat sehingga setiap keputusan turut mengambil pendapat daripada mereka.

"Hubungan antara saya dengan peminat memang akrab. Untuk acara hari ini pun, kira-kira 150 peminat hadir dan sertai. Kebanyakan mereka adalah orang yang sering kali hadir.

"Dalam membuat keputusan untuk produk yang saya nak keluarkan pun, saya ambil pendapat mereka. Sebabnya, mereka ini yang sentiasa menyokong saya," katanya.

Bahkan, dia yang kini bergelar usahawan untuk jenama tudung juga mengambil kira kumpulan peminatnya sebelum mengeluarkan produk.

"Saya baru sahaja melancarkan jenama tudung, Khairose yang mana menjadi perniagaan pertama saya sendiri. Nama ini adalah gabungan nama saya dan ibu saya.

"Untuk produk ini, saya bertanggungjawab memilih dan membuat keputusan dari sudut material serta rekaan. Jadi, saya mengambil masa tiga bulan mengkaji apa cita rasa pelanggan tudung.

"Dalam keluarga, saya ada ramai kakak dan itu antara sebabnya saya memilih melebarkan sayap dengan membuka perniagaan tudung. Lagi satu, ramai dalam kalangan pengikut dan peminat saya pun adalah wanita.

"Saya nak jual barang yang dipakai setiap hari dengan harga murah," katanya.

Tercalon dalam kategori Penyanyi Lelaki Popular di Anugerah Bintang Popular Berita Harian 35 (ABPBH), Khai terbuka untuk turun padang dan turut sama mempromosikan acara itu.

KHAI hargai peminat. FOTO Eizairi Shamsudin
KHAI hargai peminat. FOTO Eizairi Shamsudin

"Untuk kempen bersempena ABPBH pula, sebelum ini sudah dijalankan di beberapa sesi antaranya di Karnival Jom Heboh. Kalau ada masa lapang, saya juga turun padang untuk rangka promosi bersama penganjur," katanya.

Tambah Khai, program itu adalah satu acara untuk artis menunjukkan rasa penghargaan buat peminat yang menyokong dan mengundi mereka.

"Kalau boleh saya nak banyakkan kempen kerana ABPBH adalah acara yang meraikan peminat. Mereka yang mengundi artis kegemaran mereka, jadi tentunya mereka ingin bertemu artis itu.

"Insya-Allah, kalau ada kelapangan saya akan sertai rangka promosi atau kempen," katanya.

Ditanya lebih lanjut mengenai hubungan baiknya dengan peminat, Khai berkata, kumpulan peminatnya kerap menganjurkan pelbagai acara.

"Saya banyak berinteraksi dengan peminat menerusi media sosial. Kalau ada acara yang mereka anjurkan, saya akan sertai. Dalam tahun ini sahaja, sudah ada empat acara yang mereka anjurkan. Akan datang ada satu acara di Singapura pada Ogos depan," katanya.

Khai bakal hadir dengan single terbaharu selain mengadakan konsert di pentas Dewan Filharmonik Petronas (DFP).

"Saya menyanyikan satu lagu untuk OST drama bergenre komedi seram. Judulnya belum diperkenalkan. Tetapi, judul lagu itu adalah Lat Ta Li Lat.

KHAI bakal tampil di konsert di pentas DFP. FOTO Eizairi Shamsudin
KHAI bakal tampil di konsert di pentas DFP. FOTO Eizairi Shamsudin

"Selepas itu, saya akan lancarkan single duet bersama Adira yang sudah tertunda sejak dua tahun lalu. Muzik videonya sudah siap dirakamkan dan Insya-Allah ia dilancarkan pada September depan.

"Selain itu, Insya-Allah saya adakan konsert di DFP pada November depan. Semuanya sudah diatur dan penganjur memberikan kebebasan kepada saya mencari idea serta band yang mengiringi persembahan saya," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 1 Julai 2023 @ 7:00 AM