BAHAGIA solo, cinta dan perkahwinan bukan keutamaan Rossa.
BAHAGIA solo, cinta dan perkahwinan bukan keutamaan Rossa.
Norhayati Nordin


Soal cinta dan kehadiran lelaki baharu dalam kehidupan penghibur ternama Indonesia, Datuk Seri Rossa, 42, antara pertanyaan terbiasa yang tidak mampu ditepisnya.

Apatah lagi, memiliki raut wajah menawan, penampilan imej yang bersih dari sebarang kontroversi dan sopan berbicara, mana mungkin tiada lelaki yang berminat cuba mendekati ibu tunggal seorang anak lelaki ini.

Rossa yang ditemui baru-baru ini secara virtual sempena promosi single baharunya, Terlalu Berharap berkata, dia pernah menjalinkan beberapa hubungan cinta baharu selepas bercerai dengan bekas suami juga pemain dram kumpulan Padi, Yoyo pada 2004.

"Selepas kegagalan rumah tangga itu, saya sempat mengenali dan dekat dengan beberapa lelaki. Bagaimanapun, jodoh kami tiada dan akhirnya hubungan itu terputus begitu saja.

"Saya pula seorang yang lebih suka tidak terlalu berkongsi dengan peminat mengenai kisah cinta kerana ia begitu peribadi dan ketika itu pun masih saling mengenali.

"Bagi saya, tiada gunanya berkongsi perkara yang belum pasti dan mungkin tak ada jodoh, jadi buat apa hendak diumumkan. Lainlah jika sudah benar-benar pasti dan saya terbuka hati mahu berkahwin lagi, boleh juga dikongsi," katanya.

Menurut penyanyi yang popular dengan lagu Pudar dan Ayat-Ayat Cinta ini, dia tidak menutup hatinya untuk menjalin cinta baharu, tetapi itu bukan keutamaan kerana dia sudah memiliki anaknya, Rizky Langit Ramadhan, 15.

"Kehidupan saya memang bahagia dengan Rizky. Begitu juga, kerjaya seni saya masih diterima baik di Indonesia dan Malaysia walaupun sudah 25 tahun menceburinya. Saya sangat bersyukur dengan segala rezeki yang Allah berikan ini.

"Saya tiada apa-apa tip kejayaan yang boleh dikongsi mengenai kemampuan terus bertahan dalam industri hiburan sampai sekarang. Cuma, apa yang saya tahu semua ini dilakukan kerana minat dan seikhlas hati.

"Apapun, saya sangat berterima kasih kepada peminat kerana terus menyokong saya. Di Indonesia pun, saya juga aktif diberi kepercayaan menjadi juri dalam program pencarian bakat sepeti Indonesian Idol," katanya.

Sudah 12 tahun berstatus ibu tunggal, Rossa berkata, dia sentiasa melihat ke arah positif. Katanya, dia kini menyimpan impian tampil dengan album baharu sempena ulang tahun ke-25 pembabitan dalam industri muzik.

"Insya-Allah, saya akan mengeluarkan album penuh dan selain itu, kini masih dalam perancangan untuk mengadakan konsert sempena 25 tahun yang tertangguh akibat Covid-19.

ROSSA kini tampil dengan single baharu, Terlalu Berharap.
ROSSA kini tampil dengan single baharu, Terlalu Berharap.

"Saya berharap semoga semuanya sihat-sihat semula dan kami dapat menjayakan penganjuran konsert ini. Ditambah lagi, situasi di Indonesia ketika ini agak baik apabila sudah boleh melakukan konsert, tetapi dengan jumlah penonton minimum," jelasnya.

Menurut Rossa, apabila sudah ada kebenaran penonton boleh menyaksikan persembahan, semestinya dia gembira. Katanya, biar jumlah sedikit asalkan masih ada penonton yang boleh hadir menyaksikan persembahan bagi menyuntik semangat buat penyanyi dan pemuzik ketika bekerja.

Sehubungan itu, Rossa yang sudah lebih dua tahun tidak berkunjung ke Malaysia mengaku dia terlalu rindukan negara ini terutama untuk bertemu rakan-rakan, peminat dan menikmati pelbagai kulinari enak.

Nyanyi lagu ciptaan Andmesh

Mengulas juga mengenai single Terlalu Berharap, Rossa berkata, karya yang menjadi lagu tema (OST) filem Love Knots itu adalah hasil ciptaan penyanyi dan komposer, Andmesh Kamaleng.

Menurut pemilik nama sebenar Sri Rossa Roslaina Handayani ini, lagu berkisar 'kisah cinta' itu dilancarkan pada 28 November lalu dan sekarang sambutannya sangat baik dalam kalangan peminat.

"Saya anggap lagu Terlalu Berharap ini istimewa kerana sudah merealisasikan impian Andmesh untuk menghasilkan lagu buat saya. Apatah lagi, saya kenal dia (Andmesh) ketika anak muda ini menyertai program pencarian bakat.

"Masih diingat, ketika ditanya apa impian dia sekiranya berpeluang menyertai industri hiburan, Andmesh kata dia ingin mencipta lagu buat saya. Syukur alhamdulillah, kini saya dapat menunaikan impiannya itu," katanya.

Berkongsi serba sedikit mengenai kisah lagu itu dengan dirinya, Rossa berkata, dia pernah berharap pada seseorang lebih 10 tahun kerana terlalu mencintai dan menyayangi lelaki berkenaan.

Bagaimanapun katanya, mereka tiada jodoh dan sepakat membawa haluan sendiri. Menurut Rossa, apapun penceritaan ilham diketengahkan Andmesh dalam lagu itu tiada kena-mengena dengan kisah peribadinya.

"Sekarang harapan kebahagiaan saya sepenuhnya diserahkan kepada kentetuan Allah. Sekiranya masih ada jodoh buat saya suatu hari nanti, takkan ditolak kerana aturan Allah itu sangat cantik dan terbaik buat hamba-Nya," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 18 Disember 2021 @ 6:00 AM