Datuk Seri Rossa
Datuk Seri Rossa
Norhayati Nordin


Kuala Lumpur: Penyanyi terkenal Indonesia, Datuk Seri Rossa, 43, bersikap terbuka untuk bekerjasama dengan bakat-bakat muda industri seni kerana melihat potensi dan kreativiti mereka yang boleh dikongsi bersama.

Rossa yang kini bernaung dengan SM Entertainment yang berpangkalan di Korea Selatan berkata, dia juga bersyukur mendapat peluang itu yang disifatkan rezeki untuknya mengorak langkah ke persada antarabangsa.

"Sudah 25 tahun dalam kerjaya seni ini, saya hanya mampu bersyukur dengan setiap rezeki kurniaan Allah SWT. Semuanya sudah begitu cantik disusun Yang Maha Esa untuk saya dan alhamdulillah.

"Bersama SM Entertainment yang kini menguruskan kerjaya saya, ia peluang terbaik kerana ada ramai nama besar artis K-Pop di bawah mereka dan mungkin kami boleh bekerjasama nanti," katanya kepada Harian Metro.

Rossa atau nama sebenarnya, Sri Rossa Roslaina Handayani yang sudah 12 tahun menjadi ibu tunggal berkata, pembabitannya yang selesa bekerja dengan bakat muda juga tidak bertujuan untuk mencari jodoh.

"Macam saya pernah katakan sebelum ini, mencari pasangan hidup atau berkahwin baharu bukan keutamaan lagi. Kehidupan saya pun sudah lengkap dan bahagia bersama anak, Rizky Langit Ramadhan yang kini berusia 15 tahun.

"Saya hanya mahu fokus pada karier selagi diterima peminat. Terima kasih juga saya ucapkan kepada peminat-peminat yang setia menyokong dari dulu sampai sekarang. Saya akan terus berusaha memberi yang terbaik," katanya.

Rossa yang ditemui media secara virtual baru-baru ini, muncul dengan single terbaharu, Terlalu Berharap ciptaan Andmesh Kamaleng yang menjadi lagu tema (OST) filem Love Knots.

Pernah mendirikan rumah tangga dengan pemain dram kumpulan Padi, Yoyo pada 2004, mereka bercerai pada 2009 dan hasil perkongsian hidup itu dikurniakan seorang anak lelaki.

Antara artis K-Pop di bawah naungan SM Entertainment ialah Super Junior, Shinee, NCT, Girl's Generation, Super M, Red Velvet, TVXO!, Exo dan ramai lagi.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 4 January 2022 @ 3:20 PM