HAMPIR 12 tahun bergelar ibu tunggal, Rossa sejujurnya belum memikirkan untuk bernikah lagi.
HAMPIR 12 tahun bergelar ibu tunggal, Rossa sejujurnya belum memikirkan untuk bernikah lagi.
Najiy Jefri


PENYANYI Indonesia, Datuk Seri Rossa tidak pernah mengambil pusing mengenai masa depannya selepas hampir 12 tahun bergelar ibu tunggal.

Rossa yang terkenal menerusi lagu Ayat-Ayat Cinta berkata, dia belum menemui calon terbaik sebagai teman hidup buat dirinya.

"Tidak untuk waktu sekarang, tapi saya mungkin akan bernikah suatu hari nanti. Namun, sejujurnya saya belum memikirkan hal itu lagi.

"Saya tak tahulah nak kata trauma atau takut kerana banyak perkara yang bermain di fikiran ini. Walaupun sudah 12 tahun hidup sebagai ibu tunggal, jujur saya belum ada calon lagi," katanya.

Tambah Rossa, dia yakin jodoh yang terbaik pasti hadir dalam hidupnya dan menyerahkan soal itu kepada Yang Maha Esa.

"Saya selalu berdoa agar Allah berikan jodoh yang terbaik, namun tidak pernah terburu-buru. Malah, saya serahkan soal jodoh ini pada takdir Ilahi," katanya.

Untuk rekod, Rossa sebelum ini pernah mendirikan rumah tangga dengan Surendro Prasetyo@Yoyo pada 2004. Hasil perkongsian hidup itu, mereka dikurniakan seorang anak lelaki, Rizky Langit Ramadhan.

Bagaimanapun, selepas lima tahun perkahwinan dibina, mereka memutuskan untuk berpisah pada 14 Julai 2009.

ROSSA mengaku belum ada teman lelaki dalam hidupnya.
ROSSA mengaku belum ada teman lelaki dalam hidupnya.

Latihan Vokal

Biarpun sudah berusia 42 tahun, namun Rossa atau nama sebenarnya, Sri Rossa Roslaina Handiyani masih memiliki kemampuan vokal yang baik dan terus diminati ramai.

Kata Rossa, dia sering menjaga kesihatan peti suaranya dengan melakukan beberapa latihan di rumah.

"Setiap hari saya pasti akan lakukan latihan pernafasan dan menyanyi lagu-lagu kegemaran saya seperti lagu nyanyian Ruth Sahanaya, Nike Astria, Mariah Carey dan Celine Dion," katanya.

Selain itu, Rossa juga mengaku akan melakukan aktiviti berenang setiap hujung minggu bagi melatih pernafasannya.

"Sejak di bangku sekolah lagi, saya sudah mula mempraktikkan latihan-latihan rutin sebegini.

"Saya tidak punya guru vokal dan cuma saya berlatih di hadapan mama saja di rumah," katanya.

Namun, Rossa tetap mengakui dia tidak menyangka bahawa perjalanan hidupnya akan berubah seperti yang diimpikan sebelum ini.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 2 Ogos 2021 @ 6:30 AM