Rossa bersama anaknya, Rizky Langit Ramadhan. FOTO Instagram
Rossa bersama anaknya, Rizky Langit Ramadhan. FOTO Instagram
Norhayati Nordin

 

Kuala Lumpur: Penyanyi terkenal Indonesia, Datuk Seri Rossa, 43, tidak terlalu mendedahkan anak tunggalnya, Rizky Langit Ramadhan, 15, dengan dunia hiburan sekali gus mendorong pembabitan dalam industri seni.

Rossa atau nama sebenarnya, Sri Rossa Roslaina Handayani berkata anaknya juga tidak terlalu meminati nyanyian dan lebih cederung dengan aktiviti melukis anime atau kartun.

"Saya memang jarang mendedahkan Rizky dengan dunia hiburan, hanya kadang-kadang saja.  Ini kerana, saya mahu dia menjalani kehidupannya yang tidak terbatas dan dibayangi ibu bapanya dikenali sebagai selebriti.

"Malah, saya juga tidak menghalang apa minatnya dan sentiasa menyokong. Tapi, saya dapati dia memang suka melukis terutama kartun. Jadi, mungkin dia akan buat komik," katanya kepada Harian Metro, ketika ditemui secara virtual baru-baru ini.

Rossa berkata dia juga tidak mahu anaknya itu terlalu selesa dengan kesenangan dan perhatian istimewa hanya kerana status ibu bapa yang dikenali ramai serta popular. Katanya, dia lebih suka Rizky berusaha sendiri untuk kehidupannya.

"Saya pun bukan seorang yang perlu diberi layanan sangat istimewa, makanan enak dan tempat tinggal mewah hanya kerana diri adalah Rossa. Saya sifatnya biasa saja, sama seperti orang lain juga.

"Jadi, saya mahu Rizky jalani kehidupan yang biasa-biasa saja. Dia boleh buat kerja apa yang disukainya dan saya berdoa Rizky akan diberikan Allah SWT rezeki di atas titik peluh usahanya sendiri," katanya.

Terdahulu, Rossa yang popular dengan lagu Pudar dan Ayat Ayat Cinta pernah mendirikan rumahtangga dengan pemain dram kumpulan Padi, Yoyo pada 2004, sebelum mereka akhirnya bercerai pada 2009.

Menerusi hasil perkongsian hidup itu, pasangan ini dikurniakan seorang anak lelaki. Malah, Rossa berkata, kehidupannya kini sudah lengkap dan bahagia dengan adanya Rizky sentiasa di sisi.

Rossa yang sudah 12 tahun berstatus ibu tunggal, kini rancak memberi fokus dalam kerjaya nyanyiannya dengan kehadiran single terbaharu, Terlalu Berharap ciptaan komposer dan penyanyi, Andmesh Kamaleng.

 

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 9 January 2022 @ 8:44 PM