Rossa belum fikir soal jodoh. FOTO IG
Rossa belum fikir soal jodoh. FOTO IG
Ridzuan Abdul Rahman


PENYANYI Indonesia, Datuk Seri Rossa, 40, mengakui sudah lali dengan penyebaran gosip membabitkan hubungannya dengan penyanyi Afgan.

Rossa, ibu kepada anak lelaki bernama Rizky Langit Ramadhan, 12, memberitahu, dia tidak boleh menolak perkara seperti itu diperkatakan kerana sudah terlalu lama bergelar ibu tunggal selepas bercerai dengan Yoyo, anggota band Padi pada Julai 2009.

Rossa atau Sri Rosa Roslaina Handiyani berkata, nama Afgan sering dipetik mempunyai hubungan dengannya dan ia bukanlah sesuatu yang mengejutkan.

“Saya sudah menafikannya sebelum ini. Malah saya hanya ketawa apabila melihat berita pernikahan kami di YouTube.

“Jumlah tontonan juga sudah lima juta dan saya tak sangka secepat ini ia menarik perhatian ramai.

“Kurang ajar kerana jika dilihat, fotonya hanya diambil dari pelbagai sumber seperti dari Instagram dan sebagainya. Bayangkan lima juta tontonan berapa duit yang dia dapat?,” katanya pada sesi temubual santai bersama media di SukaSucre Bistro, Cheras, hari ini.

Penyanyi lagu Atas Nama Cinta dan Ayat-Ayat Cinta ini berkata, dia tidak mahu mengambil serius isu ini dan hanya ketawa dengan apa yang berlaku.

Ditanya sekiranya dia akan bertemu jodoh pada tahun 2019, Rossa berkata, soal ini belum terlintas di fikirannya sekarang.

“Jangan bagi saya takut dengan persoalan ini. Saya sering berfikir kalau saya berkahwin apa agaknya akan berlaku nanti.

“Seluruh hidup saya pasti akan berubah,” katanya sambil ketawa.

Apabila diusik dengan soalan bukankah dia pernah berkahwin, Rossa cepat-cepat menjawab yang dia lupa sudah melalui situasi ini.

“Aku lupa ya. Bagaimana nak melaluinya setiap hari. Seorang rakan saya bernama Maya baru berkahwin dan saya bertanyakan kepadanya adakah dia ingat apa yang perlu dilakukan setiap hari?

“Dia perlu menyediakan sarapan dan sebagainya. Itulah kalau sudah lama tak menjalani kehidupan sebagai isteri.

“Saya sukar nak mengiyakan samada kehadiran suami akan memeningkan kepala,” katanya terus ketawa.

Sementara itu, Rossa mengakui bersyukur rezekinya dalam bidang seni terus melimpah ruah.

“Dalam sebulan saya hanya bercuti hanya lima hari, manakala selebihnya dihabiskan dengan undangan persembahan.

“Ada juga dalam tempoh sehari, saya memenuhi dua undangan nyanyian,” katanya.

Bercerita mengenai album, Rossa berkata, dua album terakhirnya tidak dipasarkan di Malaysia kerana mempunyai sedikit masalah dengan label di Jakarta.

“Kali terakhir saya merakam lagu ialah untuk filem Ayat-Ayat Cinta 2. InsyaAllah mudah-mudahan Januari nanti saya akan merakam beberapa single dan boleh dikeluarkan kepada peminat.

“Saya masih mencari material yang sesuai untuk single ini. Kalau boleh saya nakkan sesuatu yang berbeza daripada yang sebelumnya,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 10 Disember 2018 @ 8:15 PM