JARI telunjuk Kara putus selepas termasuk ke dalam mesin pengering tangan.
JARI telunjuk Kara putus selepas termasuk ke dalam mesin pengering tangan.
Agensi

Singapura: Gara-gara menyangka mesin pengering tangan sebagai tempat simpanan tisu, jari telunjuk seorang kanak-kanak putus.

Kanak-kanak perempuan berusia lima tahun itu dikenali sebagai Kara kini trauma dengan kejadian menimpanya Isnin lalu.

Bapanya, Nick Matthew Chia berkata, insiden itu berlaku ketika mereka sekeluarga keluar makan malam di pusat beli-belah sebelum anaknya ke tandas ditemani pembantunya.

"Selepas membasuh tangan, Kara berjalan ke mesin pengering tangan sendirian ketika pembantunya sedang membuka paip.

"Dia memasukkan jarinya ke mesin itu kerana menyangka ia tempat tisu.

"Walaupun kakitangan pusat beli-belah itu berusaha keras menutup mesin itu namun jari anak saya sudah hancur," katanya dalam sebuah hantaran di Facebook.

Menurutnya, kejadian itu meninggalkan kesan mendalam terhadap Kara hingga kanak-kanak itu hanya mengelap tangannya dengan menggunakan pakaian sahaja.

"Jari anak saya hancur teruk sampaikan saya hanya mampu mengutip debu putih serta serpihan tulangnya dengan harapan ia dapat disambung semula.

"Namun, bahagian itu tidak dapat diselamatkan dan saya merancang untuk mencari jari tiruan untuk anak saya," katanya.

Sementara itu, pihak pengurusan pusat beli-belah berkata, pihaknya segera memberi bantuan kepada sebaik mengetahui kejadian berkenaan.

"Kami kesal dengan insiden itu dan masih menyiasat punca kejadian.

"Sebagai langkah tambahan keselamatan, kami periksa semua mesin pengering tangan untuk memastikan tahap keselamatan alat itu," katanya dalam satu kenyataan kepada Coconuts.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 12 Disember 2021 @ 6:30 AM