Sudirman Mohd Tahir

Kuala Lumpur: Sambutan Krismas seorang warga Singapura bertukar pengalaman pahit apabila hiasan pokok Krismas yang tergantung di sebuah pusat beli-belah di sini, jatuh menghempap kepalanya ketika mengambil gambar anak dan isterinya, hari ini.

Isteri mangsa, Aileen Tan, 39, berkata, mereka masih terkejut dan tidak menjangka kejadian itu sama sekali.

"Suami (Julius Lee, 44) saya berada di luar merry go round untuk mengambil gambar saya dan anak. Secara tiba-tiba hiasan pokok krismas jatuh. Memang terkejut dan tak jangka sama sekali. Ia berlaku sangat pantas.

"Mujur anak bersama saya. Kalau dia dalam stroller (kereta sorong kanak-kanak) mesti dia pun kena sama. Cuma dia terkejut dan terus menangis," katanya kepada Harian Metro.

JULIUS (dua dari kanan) dihempap pokok perhiasan Krismas yang terjatuh di sebuah pusat beli-belah. FOTO Asyraf Hamzah
JULIUS (dua dari kanan) dihempap pokok perhiasan Krismas yang terjatuh di sebuah pusat beli-belah. FOTO Asyraf Hamzah

Menurutnya, suaminya mengalami bengkak di kepala dan dibawa ke klinik oleh pihak pengurusan pusat beli-belah terbabit.

Menurutnya, dia bersama suami dan anak perempuan mereka yang berusia tiga tahun tiba di sini sejak Rabu lalu bagi meraikan sambutan Krismas.

"Kami datang untuk menyambut Krismas. Hari ini memang merancang untuk berjalan-jalan di dalam pusat beli-belah ini. Malangnya, lain pula yang terjadi," katanya.

Ketika kejadian, pengunjung yang berada di situ turut terkejut dan cuba membantu mangsa sebelum pasukan keselamatan beli-belah tiba.

Susulan kejadian itu, pihak pengurusan beli-belah segera mengalihkan pokok hiasan yang terjatuh.

Bagaimanapun, orang ramai tetap mengabadikan kenangan untuk bergambar dengan perhiasan Krismas yang disediakan.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 25 Disember 2023 @ 2:02 PM