DEKORASI indah pokok krismas di pusat beli-belah Suria KLCC.
DEKORASI indah pokok krismas di pusat beli-belah Suria KLCC.
Fairul Asmaini Mohd Pilus


PUSAT beli-belah Suria KLCC mengadakan program Ganjaran Pembelian Krismas bernilai lebih setengah juta ringgi bagi menghargai pelanggan setianya.

Menariknya, pengunjung boleh membeli-belah dalam keadaan yang tenang dan selamat sambil ahli keluarga yang lain menikmati keindahan dekorasi di Centre Court yang mempamerkan seolah-seolah alam penuh keajaiban, diilhamkan dari 'The Polar Express.'

Pengunjung boleh bergambar bersama stesen kereta api klasik dan replika kereta api bersaiz sebenar untuk diabadikan dalam laman sosial masing-masing.

Selain itu, pengunjung juga boleh memuat turun AR filter tema Krismas termasuk latar belakang Stesen Keretapi Suria KLCC 'Polar Express' beserta tompokkan salji dan kesan khas lain yang menarik.

Jika ingin mencuba menaiki kereta api eksklusif pula, boleh ke Aras Satu Ramlee Mall di mana kawasan itu sudah diubah suai kepada sebuah stesen kereta api mini yang boleh dinaiki kanak-kanak.

Istimewanya, setiap RM1 daripada caj tiket yang dikenakan akan disumbangkan kepada pasukan barisan hadapan di Hospital Kuala Lumpur sebagai sebahagian daripada tanggungjawab sosial korporat (CSR).

Santa dan pembantunya juga akan membuat kemunculan di Kotej Santa pada hujung minggu dan hari Krismas untuk bergambar bersama pengunjung.

Di perkarangan pusat beli-belah itu juga terdapat pokok krismas antara tertinggi di Malaysia dan ia tersergam indah di Esplanade menanti kedatangan pengunjung.

Menurut Pengarah Eksekutif Kumpulan Syarikat KLCC, Andrew Brien, pihaknya sudah bersedia untuk menyambut Krismas dan kali ini mereka akan kembalikan kemeriahan dan keterujaan kepada pelanggan dengan sambutan penuh tradisi.

Katanya, persediaan untuk sambutan Krismas adalah masa yang dinantikan setiap tahun dan teruja melihat pengunjung yang tidak putus-putus menikmati keindahan lampu serta dekorasi yang disediakan.

"Bagaimanapun, pengunjung masih perlu mengamalkan penjarakan selamat dan sentiasa memakai pelitup muka memandangkan pandemik ini belum tamat," katanya.

Dalam pada itu, di pusat beli-belah Alamanda, Putrajaya pula, pengunjung juga disajikan dengan ganjaran istimewa sehingga 26 Disember depan sebagai sebahagian daripada program penebusan Krismas.

Pengunjung juga dapat menikmati dekorasi yang bertemakan Polar Ekspress selain disajikan dengan pelbagai hiburan menarik.

Ia termasuk persembahan klasik di Centre Court, pertunjukan silap mata, tarian bertemakan Krismas, persembahan jazz hingga kemunculan Santa Claus pada hari Krismas.

Begitu juga pusat beli-belah Mesra Mall, Terengganu yang turut dihiasi dengan keindahan warna-warni sempena Krismas dari sehingga 25 Disember depan.

Kempen penebusan juga disediakan kepada pengunjung dan pada Krismas, Santa Claus akan membawa keceriaan kepada kanak-kanak

dengan layanan istimewa.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 9 Disember 2021 @ 6:45 AM