NURUL Izzah menjalani latihan pada persiapan akhir menjelang temasya Sukan Olimpik Paris 2024 di Velodrom Nasional hari ini. FOTO BERNAMA
NURUL Izzah menjalani latihan pada persiapan akhir menjelang temasya Sukan Olimpik Paris 2024 di Velodrom Nasional hari ini. FOTO BERNAMA
Ferzalfie Fauzi


Nilai: Pelumba berbasikal trek wanita negara, Nurul Izzah Izzati Asri sudah pasti bersemangat untuk mempersiapkan diri ke Sukan Olimpik Paris 2024 selepas disahkan hari ini bakal menerima basikal sama seperti digunakan Datuk Azizulhasni Awang dan Muhammad Shah Firdaus Sahrom.

Menurut ketua jurulatih skuad berbasikal trek negara, John Beasley anak buahnya itu akan mula membiasakan diri dengan basikal baharu dalam masa yang terdekat.

"Mengenai basikal itu akan memperjelaskan lebih terperinci selepas ini kerana bercadang untuk membuat sedikit pelancaran. Izzah akan menggunakan WX-R dalam beberapa minggu lagi," katanya dalam sidang media Persekutuan Kebangsaan Berbasikal Malaysia (PKBM) di Velodrom Nasional, Nilai hari ini.

Nurul Izzah menjadi atlet berbasikal terakhir negara menempah slot ke Temasya Paris 2024, selepas mempamerkan kayuhan memberangsangkan pada Piala Negara-Negara UCI di Milton, Kanada.

Pelumba kelahiran Kedah itu tidak menyangka bahawa Beasley akan mengesahkan dia akan berkayuh menggunakan basikal setanding Azizulhasni dan Shah Firdaus, pada sidang media hari ini.

"Saya tak jangka saya akan dapat basikal sama seperti mereka. Sudah tentu basikal baharu ini boleh menaikkan semangat saya kerana basikal itu pernah dinaiki oleh Datuk Azizulhasni sendiri sebelum ini.

"Saya pernah cuba basikal (WX-R) memang berbeza dan jauh lebih baik berbanding basikal saya sekarang," kata Nurul Izzah yang memenangi dua pingat emas di Kejohanan Berbasikal Trek Asia (ACC) di New Delhi India pada Februari lalu," katanya.

Tambahnya, dia mahu memantapkan keyakinan sebelum beraksi di temasya besar itu, terutamanya dalam acara keirin.

"Dalam latihan, saya nak memperbaiki dari segi positioning dan keberanian untuk kayuh dalam (acara) keirin. Saya juga perlu lebih yakin dan perbaiki kelajuan saya untuk saya di Olimpik nanti," katanya.

Sukan Olimpik Paris dijadual berlangsung pada 26 Julai hingga 11 Ogos ini.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 26 April 2024 @ 4:55 PM