MAYAT kanak-kanak perempuan yang dipercayai dibunuh ayah tirinya.
MAYAT kanak-kanak perempuan yang dipercayai dibunuh ayah tirinya.
hmdigital

"HAMPIR semua orang di kawasan ini kenal dia. Apa yang berlaku kepadanya amat mengejutkan kami," kata pengawal keselamatan yang bertugas di pusat beli-belah di Jalan Memanda 3, di sini.

Pengawal keselamatan yang enggan dikenali itu berkata, dia mengenali kanak-kanak perempuan terbabit dengan gelaran Rahina kerana mangsa bersama neneknya sering duduk di kawasan pusat beli-belah itu.

"Sejak kecil lagi, dia sering duduk bersama neneknya yang juga etnik Rohingya di sekitar pusat beli-belah ini. Mereka tidak meminta sedekah tapi ada orang awam yang memberikan wang.

"Dia seorang kanak-kanak yang ceria menyebabkan ramai pekerja pusat beli-belah ini senang dengannya. Malah, ada antara pekerja memberikannya makanan setiap hari," katanya ketika ditemui di pusat beli-belah itu, semalam.

Menceritakan semula penemuan mayat mangsa jam 9.50 pagi kelmarin, dia berkata, mayat kanak-kanak itu dipercayai ditinggalkan di kawasan itu jam 11 malam, Ahad lalu.

"Difahamkan ada pihak mendakwa melihat Rahina berada di lokasi itu sejak jam 11 malam kelmarin (Ahad), namun tidak mengesyaki sesuatu yang buruk dan sangkakan dia sedang tidur.

"Semalam (kelmarin), ada orang awam memaklumkan menemui mayatnya di lokasi itu sebelum melaporkan kepada pengawal keselamatan bertugas yang segera membuat laporan polis.

"Ketika ditemui, terdapat kesan luka dan lebam di kepalanya yang dicukur sehingga botak," katanya.

Dia memaklumkan dua hari sebelum kejadian bapa tiri mangsa dilihat memaksa kanak-kanak itu keluar dari pusat beli-belah berkenaan.

"Saya tidak begitu mengenali bapa tirinya yang hanya beberapa kali dilihat berada di sekitar kawasan ini.

"Difahamkan bapa tiri kanak-kanak itu bersama isterinya menetap di hotel berhampiran, namun Rahina dibiarkan bersama neneknya duduk serta tidur di kawasan ini," katanya.

Semalam, Harian Metro melaporkan punca kanak-kanak itu dibunuh dipercayai akibat dipukul menggunakan objek tumpul oleh bapa tirinya kerana enggan makan.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 13 Mei 2020 @ 7:10 AM