SAFIQ (kanan) menunjukan cara menjinakkan ular tedung selar ketika mengendalikan kursus binatang berbisa di Pusat Latihan Perhutanan Pahang (PLPP) Belimbing, Kuantan, hari ini. FOTO Mohd Rafi Mamat.
SAFIQ (kanan) menunjukan cara menjinakkan ular tedung selar ketika mengendalikan kursus binatang berbisa di Pusat Latihan Perhutanan Pahang (PLPP) Belimbing, Kuantan, hari ini. FOTO Mohd Rafi Mamat.
Mohd Rafi Mamat


TANPA kemahiran dan peralatan khas, usah cuba menangkap ular berbisa kerana hanya dalam sekelip mata ia mampu menyerang dengan pantas hingga mengundang maut.

Perkara itu ditegaskan Pegawai Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), Safiq Mohamad, 26 yang berpengalaman luas berkaitan aktiviti menangkap dan memindahkan pelbagai jenis ular di negara ini.

Beliau berkata, individu yang berhadapan dengan ular berbisa terutama tedung selar perlu bertindak pantas melarikan diri kerana reptilia itu boleh menyerang pada bila-bila masa terutama apabila merasakan dirinya terancam dan cedera.

Katanya, ular berbisa boleh menyerang manusia tanpa diduga hingga menyebabkan mangsa gagal bertindak ketika diserang dan dengan sekali patukan boleh membunuh mangsa sekiranya lambat menerima rawatan.

“Banyak contoh mereka yang profesional serta berpengalaman luas menangkap dan menjinakkan ular berbisa berakhir dengan episod amat menyedihkan apabila maut dipatuk reptilia berkenaan.

“Justeru, saya mengingatkan kepada masyarakat supaya tidak mengambil mudah apabila berhadapan dengan ular berbisa seperti tedung selar, sebaliknya segera menghubungi bomba sekiranya berhadapan dengan kehadiran reptilia itu di rumah atau premis mereka,” katanya selepas mengendalikan kursus binatang berbisa di Pusat Latihan Perhutanan Pahang (PLPP) Belimbing, Kuantan, hari ini.

Safiq yang juga jurulatih kursus pengendalian haiwan berbisa Akademi JBPM Wilayah Timur di Wakaf Tapai, Marang Terengganu berkata, beberapa kali dia turut diserang ular tedung selar, namun sempat mengelak.

Beliau berkata, penggunaan alat khas untuk menyepit dan menjerut bahagian kepala ular amat penting supaya operasi menangkap dan memindahkan reptilia itu dapat berjalan lancar serta menjamin keselamatan.

“Setiap bulan saya menganjurkan kursus dikhaskan untuk pegawai dan anggota bomba seluruh negara dengan harapan mereka dapat menjalankan tugas dengan berkesan dan sempurna di kawasan masing-masing.

“Kemahiran dimiliki bukan untuk pertunjukan tetapi khusus bagi menjalankan tugas dan kebolehan itu perlu digunakan dengan sebaik mungkin bertujuan membantu masyarakat.

“Saya belajar teknik menangkap ular daripada beberapa individu berpengalaman luas dalam bidang berkenaan,” katanya yang berasal dari Kota Bharu, Kelantan.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 3 Disember 2018 @ 11:14 AM