Allahyarham Abu Zarin Hussin ketika memberi tunjuk ajar kepada anggota Bomba dan Penyelamat Balai Temerloh. FOTO MOHD RAFI MAMAT
Allahyarham Abu Zarin Hussin ketika memberi tunjuk ajar kepada anggota Bomba dan Penyelamat Balai Temerloh. FOTO MOHD RAFI MAMAT
Mohd Rafi Mamat


SETIAP kali Hari Anggota Bomba Sedunia disambut ingatan terhadap wira Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), Abu Zarin Hussin yang terkorban akibat dipatuk ular tedung tiga tahun lalu pasti menjengah ingatan rakan-rakannya.

Ini diakui Pegawai Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), Safiq Mohamad, 29 yang mengenali arwah sejak 2013 ketika mengikuti kursus pengendalian ular kali pertama dianjurkan JBPM.

Menurutnya, sejak detik itu, hubungannya dengan arwah rapat, dia bukan sahaja guru tetapi sahabat yang akan turut sama mengadakan kursus pengendalian ular anjuran JBPM seluruh negara.

Katanya, sebagai anak didik Abu Zarin dia begitu mengagumi kemahiran serta keberanian arwah yang dianggap luar biasa dan tidak ada pada individu lain, kebolehan menangkap dan menjinakkan reptilia berbisa itu suatu anugerah yang ada pada dirinya.

"Saya masih ingat lagi pesanan arwah ketika kali pertama mengikut kursus pengendalian ular, kalau ada timbul perasaan takut dalam hati terutama ketika operasi menangkap ular berbisa lebih baik serahkan tugas berkenaan kepada individu lain menjalankan tugas itu.

"Ini bagi memastikan tidak berlaku kejadian tidak diingini kerana hanya keberanian sahaja dapat melancarkan tugas mencabar itu," katanya yang kini bertugas di Akademi Bomba dan Penyelamat Malaysia Wilayah Timur, Wakaf Tapai Terengganu.

Allahyarham Abu Zarin Hussin terkorban tiga tahun lalu ketika operasi menangkap ular tedung di Bentong.STR/MOHD RAFI MAMAT
Allahyarham Abu Zarin Hussin terkorban tiga tahun lalu ketika operasi menangkap ular tedung di Bentong.STR/MOHD RAFI MAMAT

Dia yang kini menjadi tenaga pengajar kursus pengendalian ular JBPM dan agensi kerajaan lain seluruh negara berkata, perkara yang tidak dilupakan mengenai arwah adalah dia seorang insan yang sentiasa ceria dan suka bergurau dalam apa juga keadaan.

Safiq berkata, kejadian yang menimpa Abu Zarin yang juga ahli Skuad King Cobra JBPM Pahang berlaku ketika arwah yang bertugas di Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Temerloh mengikuti operasi menangkap ular tedung di Bentong.

"Kehilangan arwah (Abu Zarin) suatu kehilangan yang besar bukan sahaja pada JBPM tetapi masyarakat setempat, jasanya begitu besar sepanjang bertugas hingga menyebabkan dirinya yang terkorban," katanya.

Sementara seorang lagi rakannya, Hashnuddin Hussin berkata, banyak kenangan sepanjang lima tahun arwah bertugas di BBP Temerloh terutama membabitkan operasi menangkap ular di Temerloh dan beberapa daerah lain di negeri ini.

"Saya mengenali arwah 11 tahun lalu ketika dia bertugas di tiga balai lain sebelum ditukarkan ke BBP Temerloh, dia seorang yang peramah dan mudah mesra serta sabar setiap kali menerima teguran.

"Dia juga tidak kedekut ilmu dan mempunyai keberanian yang tinggi ketika bertugas dalam semua situasi, ketika menangkap ular, kemalangan jalan raya, menyelamat di air serta di hutan," katanya yang menganggap kehilangan arwah tiga tahun lalu sukar dicari ganti.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 5 Mei 2020 @ 1:06 PM