ZAITUL Akma (kanan) mengajar cara memengang ular tedung selar ketika mengendalikan kursus.
ZAITUL Akma (kanan) mengajar cara memengang ular tedung selar ketika mengendalikan kursus.
Mohd Rafi Mamat


Rasa geli pada ular yang ada pada diri sebelum ini seolah-olah terhakis hanya kerana minat mendalam dan ingin mencuba kerjaya mencabar sebagai tenaga pengajar kepada individu yang ingin bertugas sebagai penangkap reptilia itu.

Sandaran sebagai anggota Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) menjadi pelengkap kepada kebolehan yang dimiliki apabila muncul antara wanita tunggal di negara ini yang diiktiraf sebagai jurulatih atau tenaga pengajar.

Untuk bergelar tenaga pengajar bukan sesuatu yang mudah kerana seseorang itu perlu memiliki pengalaman luas menerusi latihan.

Tugas mencabar yang sebelum ini didominasi lelaki bukan penghalang buat Pegawai Bomba Kanan (PBK) II Zaitul Akma Halim, 38, untuk menceburi profesion berbahaya itu tanpa gentar.

Berkongsi pengalaman, gadis berasal dari Kampung Pantai Sri Tujuh, Tumpat, Kelantan itu berkata, beliau menjadi tenaga pengajar menangkap ular sejak tiga tahun lalu selepas 16 tahun bertugas sebagai anggota JBPM di Akademi Bomba dan Penyelamat Malaysia Wilayah Timur Wakaf Tapai, Marang, Terengganu.

"Saya banyak belajar teknik menangkap dan menjinakkan ular daripada anggota bomba dan penyelamat, PBK II Safiq Mohamad yang menjadi tenaga pengajar berpengalaman luas melatih anggota dan kakitangan awam serta swasta.

"Sebelum ini saya bertugas sebagai jurulatih anggota baharu di Akademi Bomba dan Penyelamat Malaysia Wilayah Timur Wakaf Tapai, namun kerana minat dengan ular saya beralih kepada kejurulatihan menangkap reptilia itu.

"Banyak perkara yang perlu dipelajari sebelum mampu bergelar sebagai jurulatih kerana tersilap langkah membawa padah kerana serangan spesies ular berbisa boleh mengundang maut," katanya selepas mengendalikan Kursus Binatang Berbisa (ular) di Pusat Latihan Perhutanan Pahang (PLPP) Belimbing, Kuantan, baru-baru ini.

Menurut Zaitul Akma, sekiranya individu itu tiada kemahiran khusus jangan sesekali cuba menangkap ular berbisa kerana boleh menyebabkan kecacatan kekal dan lebih parah menyebabkan kematian.

Tegasnya lagi, pengalaman dan peralatan khas juga perlu ada pada individu yang terbabit aktiviti menangkap dan memindahkan ular berbisa.

Di negara ini ada kira-kira 15 spesies ular berbisa yang biasa ditemui seperti tedung selar, tedung sembur, katam tebu, katam paya, kapak tokong, ular karang dan ular kapak.

Katanya, hanya dalam sekelip mata ular berbisa mampu menyerang dengan pantas hingga mengundang maut sekiranya lambat menerima rawatan di hospital tertentu yang mempunyai penawar atau suntikan antivenom.

Menurutnya, individu yang berhadapan ular berbisa terutama tedung selar perlu bertindak pantas melarikan diri kerana reptilia itu boleh menyerang pada bila-bila masa terutama apabila berasa terancam dan cedera.

"Ular berbisa boleh menyerang manusia tanpa diduga menyebabkan mangsa gagal bertindak ketika diserang dan dengan sekali patuk boleh membunuh mangsa sekiranya lambat menerima rawatan.

"Banyak contoh mereka yang profesional dan berpengalaman luas menangkap serta menjinakkan ular berbisa berakhir dengan episod amat menyedihkan apabila maut dipatuk reptilia berkenaan. Ada kes ular yang dibela menyerang pemilik sendiri menyebabkan kematian.

"Sebagai contoh, ular tedung selar mempunyai dua jenis patukan, patukan amaran dan patukan membunuh yang boleh mengundang maut serta kecacatan kekal," kata ibu dua cahaya mata itu.

Zaitul Akma berkata, selain kemahiran penggunaan alat khas untuk menyepit dan menjerut bahagian kepala ular diperlukan supaya operasi menangkap dan memindahkan reptilia berkenaan dapat berjalan lancar serta menjamin keselamatan.

"Dari masa ke masa saya menganjurkan kursus dikhaskan untuk pegawai dan anggota bomba seluruh negara dengan harapan mereka dapat menjalankan tugas dengan berkesan dan sempurna di kawasan masing-masing. Kursus turut diberikan kepada kakitangan agensi kerajaan dan swasta yang berminat dengan tugas mencabar itu.

"Kemahiran dimiliki bukan untuk pertunjukan, tetapi khusus bagi menjalankan tugas dan kebolehan itu perlu digunakan sebaik mungkin bertujuan membantu masyarakat," katanya yang ingin terus berkongsi kemahiran menangkap dan memindahkan ular berbisa bagi memastikan masyarakat mendapat ilmu berguna itu.

Beliau berkata, sepanjang pembabitan sebagai jurulatih dan penangkap ular JBPM, dia pernah sekali dipatuk ular karang biru (blue malayan coral snake) pada awal tahun ini. Kejadian berlaku ketika dia cuba menangkap reptilia itu bersaiz straw minuman yang berada dalam rumah penduduk.

Katanya, ketika cuba memegang, ular berkenaan tiba-tiba mematuk ibu jari kanan tangan, taring ular itu menembusi sarung tangan yang dipakai. Dia dikejarkan ke Hospital Sultanah Nur Zahirah, Kuala Terengganu.

"Saya bersyukur kejadian itu tidak menyebabkan kecederaan serius dan episod hitam itu menjadi pengajaran berguna buat saya untuk sentiasa lebih berhati-hati selepas ini terutama ketika berhadapan spesies ular berbisa," katanya.

Zaitul Akma yang turut memiliki ular sawa batik dan sawa bola bagi tujuan kaji pemakanan serta tumbesaran berkata, pengalaman menyertai perarakan sambutan Hari Kebangsaan peringkat kebangsaan bersama ular sawa di Kuala Lumpur tahun lalu menjadi kenangan yang tidak mungkin dapat dilupakan.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 7 Ogos 2023 @ 7:00 AM