Fitri Nizam


“TOLONG jangan tiru aksi itu," itu pesanan ringkas Tenaga Pengajar Teknik Mengendalikan Haiwan Berbisa Pegawai Bomba Safiq Mohamad, 26, yang videonya menangkap seekor ular tedung selar sepanjang 4.27 meter, tular di laman sosial, hari ini.

Video pegawai bomba dari Akademi Bomba dan Penyelamat Wilayah Timur Wakaf Tapai, Marang, itu tular di laman sosial apabila memaparkan keberaniannya menangkap seekor ular tedung selar yang sedang 'beristirehat' di bawah mesin pengimpal dekat bengkel Institut Kemahiran Belia Negara (IKBN) Wakaf Tapai.

Anak muda berasal dari Kota Bharu, Kelantan, itu berkata, dia menerima panggilan daripada seorang tenaga pengajar di IKBN terbabit pada 9 pagi selepas mereka menemui sisa kulit ular di dalam bengkel itu.

Katanya, sebaik menerima panggilan itu, dia meminta pengadu untuk mengesan terlebih dahulu kedudukan ular terbabit tanpa membuat sebarang provokasi yang boleh menyebabkan reptilia itu berasa terancam.

"Beberapa minit kemudian, saya menerima gambar ular terbabit yang sedang 'berehat' di bawah sebuah mesin pengimpal, justeru saya bergegas ke lokasi untuk membantu menangkap haiwan berbisa berkenaan.

"Memandangkan hari ini saya ada aktiviti luar akademi, saya tidak mengenakan pakaian seragam bomba untuk ke lokasi bagi menangkap haiwan berkenaan.

“Bagaimanapun, tindakan seumpama itu boleh mendatangkan bahaya kepada orang ramai yang tidak memiliki ilmu mengenai reptilia berbisa itu," katanya ketika dihubungi hari ini.

Safiq yang sudah lima tahun berkhidmat sebagai jurulatih mengendalikan haiwan berbisa di akademi terbabit berkata, aksi menangkap ular tedung selar dengan 'tangan kosong' yang terpapar dalam video terbabit dibantu dengan ilmu pengetahuan luas berkenaan peri laku haiwan berbisa itu.

"Walaupun dilihat ia seperti satu perkara mudah, namun untuk membawa keluar ular terbabit dari tempat istirehatnya tanpa mendatangkan kecederaan pada diri sendiri dan orang di sekeliling memerlukan pengalaman dan teknik yang betul.

"Justeru, saya amat berharap tindakan itu tidak ditiru orang ramai kerana ia boleh memberi risiko kecederaan parah, malah kehilangan nyawa jika terkena bisa ular berkenaan," katanya.

Selain itu, sepanjang tempoh lima tahun berkhidmat sebagai pegawai bomba, Safiq sudah menangkap sekurang-kurangnya 400 ekor ular pelbagai jenis yang dilaporkan mengganggu penduduk di sekitar daerah Marang.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 8 Mac 2018 @ 5:24 PM
SAFIQ menunjukkan ular tedung selar sepanjang 4.27 meter yang ditangkapnya di IKBN Wakaf Tapai, Marang, hari ini. FOTO ihsan Safiq Mohamad.
SAFIQ menunjukkan ular tedung selar sepanjang 4.27 meter yang ditangkapnya di IKBN Wakaf Tapai, Marang, hari ini. FOTO ihsan Safiq Mohamad.