Oleh Amir Abd Hamid


Kajang: Solat jenazah pesara guru yang maut dilanggar secara tidak sengaja oleh Imam 1 Surau Al Hidayah Taman Bukit Kajang Baru, di sini, semalam dilakukan dua kali bagi menampung kehadiran orang ramai.

Pengerusi surau itu Zulkeply Abdul Samad berkata, arwah Hatim Mohamad Arshad, 79, sangat dikenali ramai kerana sifat baiknya.

Malah, katanya, arwah dan Imam 1 surau iaitu Wan Johari Wan Daud, 76, adalah bersahabat baik yang mengasaskan pembinaan surau berkenaan.

"Dua rakan karib ini antara pengasas yang terbabit pembinaan surau daripada kosong termasuk mencari derma dan dana.

"Kira-kira 20 tahun mereka bersahabat, malah tinggal juga berdekatan. Kejadian ini amat menyedihkan," katanya ketika ditemui di lokasi kejadian, di sini, hari ini.

Menurutnya, sebelum ini arwah adalah pengerusi surau sebelum beliau mengambil alih tugas itu.

"Arwah dikebumikan di Tanah Perkuburan Sungai Kantan, Kajang dan kira-kira 10 malam semalam selesai semua urusan.

"Sebelum itu, arwah dimandi, kafan dan solat jenazah di Masjid Jamek Kajang selepas solat Isyak

"Kehadiran ramai, kena buat solat jenazah dua kali. Dulu arwah kerja guru dan di Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Kajang, memang dikenali ramai," katanya.

LOKASI kejadian imam kedua yang juga pesara guru yang meninggal dunia selepas dilanggar secara tidak sengaja oleh imam satu di Surau Al-Hidayah Taman Bukit Kajang. FOTO Azhar Ramli.
LOKASI kejadian imam kedua yang juga pesara guru yang meninggal dunia selepas dilanggar secara tidak sengaja oleh imam satu di Surau Al-Hidayah Taman Bukit Kajang. FOTO Azhar Ramli.

Katanya, arwah juga adalah Ahli Jawatankuasa (AJK) Kebajikan dan Khairat Kematian yang mana selama hayatnya menguruskan orang meninggal dunia

Selain itu, katanya, arwah juga adalah jawatankuasa penduduk Taman Kajang Jaya di sini.

Menurutnya, pihak Surau Al Hidayah Taman Bukit Kajang Baru melakukan tahlil untuk arwah semalam, hari ini dan esok selepas Maghrib.

Arwah meninggalkan seorang balu berusia 70-an dan tiga anak iaitu seorang perempuan serta dua lelaki berusia 40 hingga 50 tahun.

Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Selangor, Superintendan Azman Shari'at dilaporkan berkata, dalam kejadian 6.30 pagi itu, kereta Perodua Myvi dipandu imam pertama berusia 76 tahun itu mengundurkan kenderaan dari lot parkir di perkarangan surau sehingga terlanggar sedikit bahagian belakang kenderaan lain.

"Bagaimanapun, imam berkenaan panik lalu menggerakkan kenderaan ke depan sehingga hilang kawalan dan melanggar dua mangsa yang juga pejalan kaki di perkarangan surau.

"Mangsa meninggal dunia di tempat kejadian dan seorang lagi jemaah dikenali Muhammad berusia 76 tahun patah lutut kanan dan pergelangan kaki kiri sebelum dikejarkan ke hospital dengan ambulans," katanya dalam kenyataan hari ini.

Azman berkata, siasatan masih diteruskan dan kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Berita berkaitan

Akibat panik, imam kedua maut, jemaah cedera dilanggar imam satu

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 12 November 2021 @ 7:30 PM