Zaid Salim


Setiu: Kelekaan enam kanak-kanak mencari kepah di sungai berhampiran muara Kampung Mangkuk, di sini, berakhir tragedi apabila tiga daripada mereka hilang dihanyutkan arus, hari ini.

Dalam kejadian 5.30 petang itu, semua mangsa dikenali sebagai Nur Amni Insyirah Saiful Tarmizi, 9, dan adiknya, Muhammad Aryan Faheem, 7, manakala seorang lagi mangsa, Nurulhasha Humaira Che Mohd Humaizi, 11.

Pengerusi Bencana Daerah, Rosli Latif berkata, sebelum kejadian, mangsa dari Kampung Atas Tol, Kuala Terengganu, dikatakan bersama ahli keluarga dan saudara mara ke lokasi berkenaan untuk berkelah pada 4.30 petang.

Difahamkan, sebaik tiba di lokasi, mangsa bersama tiga lagi saudaranya terus ke beting sungai kira-kira 50 meter dari tebing untuk mencari kepah.

"Kelekaan mereka mencari kepah menyebabkan mangsa tidak menyedari air mulai pasang menyebabkan semua enam kanak-kanak terbabit tenggelam.

"Bagaimanapun tiga daripada mereka berjaya diselamatkan ahli keluarga yang menyedari kejadian itu manakala tiga lagi hilang dibawa arus," katanya ketika ditemui di lokasi kejadian.

Operasi Mencari Dan Menyelamat (SAR) digerakkan pelbagai agensi membabitkan Polis Diraja Malaysia (PDRM), Balai Bomba Dan Penyelamat (BBP) Setiu, Jertih dan Kuala Terengganu, Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM), Jabatan Kerja Raya (JKR) dan nelayan serta penduduk kampung seramai 107 orang.

Operasi SAR turut disertai, Ketua Polis Daerah, Deputi Superintendan Afandi Husin serta Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Terengganu, Md Hilman Abd Rashid.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 8 Oktober 2021 @ 10:11 PM
ROSLI (kanan) bersama Md Hilman (dua kanan) meninjau lokasi kejadian lemas membabitkan tiga kanak-kanak berhampiran muara sungai Kampung Mangkuk, Setiu, malam ini. FOTO ZAID SALIM
ROSLI (kanan) bersama Md Hilman (dua kanan) meninjau lokasi kejadian lemas membabitkan tiga kanak-kanak berhampiran muara sungai Kampung Mangkuk, Setiu, malam ini. FOTO ZAID SALIM