OPERASI mencari dan menyelamat mangsa. FOTO Zaid Salim
OPERASI mencari dan menyelamat mangsa. FOTO Zaid Salim
Zaid Salim


Setiu: "Mereka bermain air di depan mata saya, tak jauh pun, air ketika itu hanya paras betis, tetapi tiba-tiba saya lihat mereka tenggelam," kata Nurulhuda Abdul Rahman, 38.

Nurulhuda adalah ibu kepada Nurulhasha Humaira Che Mohd Humaizi, 11, yang dikhuatiri lemas bersama sepupunya, Nur Amni Insyirah Saiful Tarmizi, 9, dan Muhammad Aryan Faheem Saiful Tarmizi, 7, di beting pasir berhampiran muara sungai di Kampung Mangkuk, di sini, 5.30 petang, semalam.

Ketika kejadian, mereka bermain air sambil mencari kepah.

Pensyarah di Politeknik Sultan Mizan, Dungun dan menetap di Kampung Atas Tol, Kuala Terengganu itu berkata, dia terkejut apabila mendapati enam daripada kanak-kanak terbabit termasuk dua anaknya tenggelam secara tiba-tiba.

"Tiga daripada mereka iaitu dua anak saudara, dan anak lelaki saya berjaya diselamatkan sekumpulan penduduk kampung yang mencari kepah di beting pasir berkenaan.

"Nurulhasha Humaira dan dua sepupunya, Nur Amni Insyirah dan Muhammad Aryan Faheem gagal diselamatkan sebelum hilang dihanyutkan arus," katanya.

Menurut, Nurulhuda, sebelum kejadian, dia yang menetap di Kampung Atas Tol, Kuala Terengganu bersama dua anak ke lokasi berkenaan kerana mahu menemani suami, Che Mohd Humaizi Che Jemani, 38, memancing bersama dua rakannya.

Katanya, dua adik beradiknya, Nor Azrina, 43, yang tinggal di Kemaman dan Nor Azifah, 41, menetap di Kampung Jeram, Manir bersama keluarga masing-masing turut serta untuk berkelah di kawasan berkenaan, termasuk ibu.

"Kami bertolak dari rumah ibu di Kampung Losong Panglima Perang dan tiba di sini (Kampung Mangkuk) jam 9.30 pagi.

"Sebaik tiba, kami berkelah sambil bermain air sungai sebelum saya menaiki bot bersama suami dan dua rakannya serta anak dan lima anak saudara ke beting pasir berkenaan sejauh kira-kira 50 meter dari tempat kami berkelah untuk mencari kepah, jam 3 petang.

"Sejurus tiba di beting pasir, suami bersama dua rakannya pergi memancing dan meninggalkan saya bersama dua anak dan lima anak saudara di kawasan berkenaan.

"Enam daripada mereka bermain air, manakala seorang lagi anak saudara iaitu Amsyar, 13, abang kepada Nur Amni Insyirah dan Muhammad Aryan Faheem turut berada di beting pasir," katanya ketika ditemui di lokasi kejadian.

Nurulhuda berkata, ketika kejadian, mereka bercadang untuk pulang ke tebing berikutan sudah lebih dua jam berada di kawasan berkenaan selain air ketika itu mulai pasang.

"Namun, tidak sempat kami beredar, kejadian itu berlaku," katanya.

Sementara itu, Pengarah Jabatan Bomba Dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Terengganu, Md Hilman Abd Rashid berkata, operasi mencari dan menyelamat diteruskan.

Berita berkaitan:

  • Tiga kanak-kanak dihanyut arus ketika cari kepah
  • Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 9 Oktober 2021 @ 8:47 AM