ANGGOTA polis dan Rela meninjau orang ramai yang menikmati makanan di Medan Selera Pasar Besar Kedai Payang baru-baru ini. FOTO Ghazali Kori.
ANGGOTA polis dan Rela meninjau orang ramai yang menikmati makanan di Medan Selera Pasar Besar Kedai Payang baru-baru ini. FOTO Ghazali Kori.
Muhaamad Hafis Nawawi


Kuala Lumpur: Kemudahan tambahan sektor sosial dan ekonomi bagi individu yang sudah menerima vaksinasi lengkap diperluaskan dengan antaranya aktiviti 'dine in' dibenarkan di negeri Fasa 1 Pelan Pemulihan Negara (PPN) bermula esok.

Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, keputusan itu dicapai dalam Sidang Khas Majlis Keselamatan Negara (MKN) yang dipengerusikan beliau hari ini.

Katanya, Sidang Khas MKN itu membincang dan mempertimbangkan cadangan oleh Jawatankuasa Khas Teknikal MKN untuk memperluaskan lagi kemudahan sektor sosial dan ekonomi terutamanya bagi Fasa 1 PPN.

"Sidang Khas MKN bersetuju untuk memberikan kemudahan tambahan sektor sosial dan ekonomi kepada individu yang menerima vaksinasi lengkap bagi negeri di dalam Fasa 1 PPN.

"Antara kemudahan tambahan yang dibenarkan adalah dine-in. Aktiviti dine-in di restoran atau kafe di premis rumah kelab juga dibenarkan.

"Justeru, saya ingin menyarankan kepada pengusaha premis kedai makan supaya menyediakan lebih banyak ruang tempat makan di bahagian luar premis bagi pengudaraan yang lebih baik," katanya dalam kenyataan hari ini.

Muhyiddin berkata, aktiviti sukan, rekreasi dan riadah tanpa sentuhan fizikal dan bukan berkumpulan (outdoor) juga dibenarkan bagi negeri Fasa 1 PPN dan seterusnya.

Namun, katanya, ia terpakai di dalam daerah yang sama sahaja bermula jam 6 pagi hingga 10 malam.

"Aktiviti yang dibenarkan adalah seperti joging, senaman, taichi, berbasikal, skateboarding, memancing, ekuestrian, memanah, mendaki, tenis (single), badminton (single), golf, permotoran dan seumpamanya," katanya.

Beliau berkata, aktiviti lain yang turut dibenarkan termasuk perkelahan dan perkhemahan yang mana penyertaan anak-anak berusia 17 tahun dan ke bawah adalah dibenarkan dengan pematuhan prosedur operasi standard (SOP) yang ketat.

"Sidang Khas MKN juga bersetuju memberikan kemudahan tambahan dalam sektor perdagangan dan pengedaran bagi Fasa 1 PPN dan seterusnya.

"Kemudahan yang dibenarkan secara amnya adalah seperti operasi pasar malam dan pasar minggu adalah dibenarkan," katanya.

Katanya, kesemua kemudahan yang diumumkan hari ini akan mula berkuat kuasa pada esok.

"Pertimbangan yang dibuat pada hari ini mengambil kira perkembangan positif kadar vaksinasi lengkap populasi dewasa di seluruh negara yang melebihi 50 peratus.

"Pencapaian ini adalah lebih awal daripada yang disasarkan sebelum ini iaitu 31 Ogos ini," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 19 Ogos 2021 @ 6:59 PM