GAMBAR fail, Azlan. FOTO NSTP
GAMBAR fail, Azlan. FOTO NSTP
BERNAMA

Kangar: Perlis yakin akan beralih ke Fasa Tiga Pelan Pemulihan Negara (PPN) tidak lama lagi, berikutan tahap vaksinasi di negeri itu mencapai 36.1 peratus ketika ini.

Menteri Besar Perlis Datuk Seri Azlan Man menerusi hantaran di laman Facebook miliknya berkata, Perlis masih perlukan sekitar 3.9 peratus kadar vaksinasi penduduk dewasa bagi membolehkan ia beralih ke Fasa Tiga PPN.

Sebelum ini kerajaan menetapkan, bagi membolehkan Fasa Dua PPN beralih ke Fasa Tiga, nilai ambang yang ditetapkan adalah usaha vaksinasi dua dos perlu mencapai kadar 40 peratus, penggunaan Unit Rawatan Rapi (ICU) di tahap selamat, dan kes harian Covid-19 berada di bawah angka 2,000 kes.

Sementara itu, beliau berkata, pada sidang Khas Majlis Keselamatan Negara (MKN) secara maya yang dipengerusikan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin hari ini membuat beberapa keputusan penting berkaitan PPN membabitkan negeri di Fasa Dua PPN.

"Saya juga telah mengesyorkan supaya semua sektor peruncitan di seluruh Malaysia dibenarkan beroperasi semula termasuklah kedai makan, restoran, gerai makan dan lain-lain lagi, bagaimanapun syaratnya semua petugas dan pelanggan setiap premis runcit mestilah telah menerima dua dos vaksinasi selain mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ketat," katanya.

Perlis antara lapan negeri yang beralih ke Fasa Dua PPN setakat ini selain Perak, Pahang, Kelantan, Terengganu, Pulau Pinang, Sabah dan Sarawak.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Lagi berita berkaitan perintah kawalan pergerakan
  • Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 20 Julai 2021 @ 12:14 AM