Mohamed Farid Noh


Johor Bahru: Kebenaran makan di restoran atau 'dine in' kepada individu lengkap vaksin berkuat kuasa hari ini, di sambut penduduk bandaraya ini dengan penuh berhati-hati.

Tinjauan di beberapa premis termasuk restoran dan medan selera di kawasan Iskandar Puteri dan Tampoi mendapati, tidak ramai pengunjung makan di premis walaupun peniaga mula menyediakan semula meja dan kerusi bagi kemudahan pengunjung.

Pekerja premis restoran juga dilihat memeriksa sijil vaksinasi lengkap pengunjung di aplikasi MySejahtera sebelum membenarkan mereka duduk di meja makan disediakan.

Beberapa pengunjung juga dilihat lebih selesa membungkus makanan sebelum beredar selepas selesai membuat pembelian.

Ada juga medan selera terutamanya yang berada di pusat beli belah di bandaraya ini masih tidak membenarkan aktiviti 'dine in' kerana masih menunggu pengumuman Majlis Keselamatan Negara (MKN) berhubung prosedur operasi standard (SOP) lebih lengkap dan terperinci.

Pelajar kolej, Nurul Nuha Azmi, 21, berkata, kebenaran aktiviti 'dine in' sememangnya ditunggu pengunjung sekali gus memudahkan mereka makan berbanding sebelum ini.

Katanya, sebelum ini dia terpaksa makan di dalam kenderaan dalam keadaan kurang selesa.

"Bagaimanapun, saya dan keluarga tetap rasa bimbang berikutan penularan kes harian masih tinggi.

"Jadi kami mengambil langkah berjaga-jaga dengan mematuhi SOP sepenuhnya dan hanya membuka pelitup muka ketika makan dan minum sebelum segera beredar selepas selesai," katanya ketika ditemui, hari ini.

Semalam, Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin mengumumkan aktiviti 'dine-in' dibenarkan kepada individu lengkap vaksin di negeri-negeri Fasa 1 Pelan Pemulihan Negara (PPN) berkuat kuasa hari ini.

Muhyiddin dilaporkan berkata, selain aktiviti 'dine in' kemudahan lain yang dibenarkan kepada individu lengkap dos vaksin di negeri Fasa 1 PPN termasuklah aktiviti sukan, rekreasi dan riadah tanpa sentuhan fizikal dan bukan berkumpulan serta operasi pasar malam dan pasar minggu.

Kemudahan tambahan itu diputuskan selepas mengambil kira perkembangan positif kadar vaksinasi lengkap populasi dewasa di seluruh negara yang sudah melebihi 50 peratus, lebih awal daripada sasaran iaitu 31 Ogos.

Sementara itu, Menteri Besar, Datuk Hasni Mohammad mengingatkan rakyat Johor supaya sentiasa berwaspada walaupun kebenaran termasuk aktiviti 'dine in' dibenarkan di negeri Fasa 1 PPN termasuk Johor.

Katanya, kemudahan itu akan membantu golongan peniaga restoran dan kedai makan yang sebelum ini terjejas teruk berikutan kekurangan pelanggan.

"Bagaimanapun warga Johor diminta sentiasa berhati-hati dan patuhi SOP sepenuhnya.

"Jangan pandang ringan supaya penularan wabak tidak terus meningkat sehingga kebenaran yang diberi ditarik semula dengan perniagaan kembali ditutup," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 20 Ogos 2021 @ 1:51 PM