PAMELA Paz. FOTO Agensi
PAMELA Paz. FOTO Agensi
Agensi

Washington: Seorang lelaki di Amerika Syarikat (AS) yang disyaki membunuh teman wanitanya dan cuba menjual kereta dengan mayat mangsa masih ada di tempat duduk belakang kenderaan itu.

Daily Star melaporkan mayat Pamela Paz, 44, dari Smyrna, Georgia ditemui pada 2 Mei lalu di parkir sebuah kawasan dekat Nashville, Tennessee.

Berdasarkan laporan bedah siasat, Pamela dicekik dan teman lelakinya, Robert Miquel Johnson, 31, dikenal pasti sebagai suspek.

"Dia disoal siasat dan mengemukakan alibi yang kemudian ternyata palsu," kata polis dalam satu kenyataan media.

Ketika siasatan masih berjalan, seorang saksi dan memberitahu bahawa Johnson cuba menjual kereta dengan mayat mangsa di tempat duduk belakang kenderaan itu.

Susulan kejadian, polis giat mengesan Johnson yang masih bebas.

Sementara itu, anak perempuan Pamela, Kendall Smith, 18, memberitahu pemberita yang dia dapat merasakan ibunya berusaha untuk melepaskan diri sebelum dibunuh.

Kendall berkata, sebelum ibunya dilaporkan meninggal dunia, dia sudah mengesyaki ada sesuatu yang tidak kena.

"Dua adik saya ditinggalkan (ibu) sejak malam Rabu lalu.

"Mereka baru berumur 10 dan 11 tahun, jadi mustahil mereka dibiarkan sendirian sehingga sehari suntuk," katanya.

Kendall memberitahu pemberita yang Pamela adalah ibu tunggal yang mempunyai empat anak, dua perempuan dan dua lagi lelaki.

Menurut Kendall, ibunya seorang yang ceria dan suka menghiburkan orang sekeliling.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 17 Jun 2021 @ 7:01 AM