Michelle Gun


Kehidupan Kendall Jenner dilihat sempurna kerana bukan sahaja bergelar jutawan tetapi turut bersinar di pentas peragaan.

Namun, di sebalik kemewahan itu, personaliti televisyen berusia 21 tahun ini mengalami gangguan panik dan kelumpuhan tidur.

Menerusi aplikasi sosialnya, Kendall mendedahkan dia kerap berasa gelisah kerana masalah peribadi dan keluarga.

“Halangan terbesar pada 2016 adalah kegelisahan dan isu berkaitan keselamatan turut tidak membantu menyelesaikan masalah ini.

“Namun, kini saya akhirnya menemui cara untuk menyelesaikan kegelisahan,” tulisnya.

Sebelum ini Kendall pernah mendedahkan gangguan itu dalam salah satu episod Keeping Up With The Kardashians.

Selain itu, Jenner turut menceritakan pengalaman kelumpuhan tidur apabila dia tidak dapat mengerakkan badan dan pertuturannya tersekat apabila terbangun pada waktu malam.

“Keadaan ini buat saya rasa takut dan tidak selamat. Selain itu, saya pernah mengalami panik yang teruk apabila menaiki kapal terbang.

“Saya pening dan rasa seakan-akan mahu pengsan. Ketika itu, jantung berdegup kencang dan badan jadi kebas.

“Saya menjadi tidak tentu arah dan ketakutan setiap kali menaiki kapal terbang,” katanya.

Oleh itu, selebriti jelita ini berazam untuk menangani serangan panik dengan melakukan senaman pernafasan.

“Saya difahamkan serangan panik sebenarnya berpunca daripada diri sendiri. Bagi mengelak masalah sama berulang, saya perlu fikirkan perkara lain setiap kali dihantui rasa gelisah,” katanya.

Kata Jenner lagi, dia turut menjalani meditasi, terapi dan pengambilan ubat.

Kakak Kendall, Kim turut mengalami gangguan sama dan ada masalah kulit yang dikenali sebagai psoriasis.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 11 January 2017 @ 12:14 PM