AYDA dan Nabil beraya pertama kali sebagai suami isteri.
AYDA dan Nabil beraya pertama kali sebagai suami isteri.
Georgie Joseph


TAHUN ini menjadi tahun paling bahagia buat pasangan suami isteri, Ayda Jebat dan Nabil Mahir. Mendirikan rumah tangga awal tahun lalu, tidak lama kemudian diselangi dengan berita gembira Ayda berbadan dua.

Ia sudah cukup membahagiakan mereka apatah lagi bakal bergelar ibu bapa buat pertama kali.

Walaupun kandungan Ayda atau nama sebenarnya Nur Suhada Jebat, 29, baharu berusia empat bulan, keseronokannya sukar digambarkan.

Justeru, Ayda dan Nabil atau nama sebenarnya Ahmad Nabil Ahmad Mahir, 33, mahu menikmati proses indah itu sebelum menyambut kehadiran anggota baharu dalam keluarga. Ternyata kebahagiaan menghitung masa itu jelas terasa.

Lantas, mereka tidak kisah untuk memilih bersederhana dalam menyambut Aidilfitri pertama sebagai suami isteri tahun ini. Bagi mereka, cukup sekadar meraikannya secara sederhana, tapi bahagia.

"Kalau menyentuh persiapan beraya, saya memang tak pernah beria-ia untuk membuat persediaan. Untuk baju raya tahun ini, saya cuma sediakan satu pasang memandangkan kebetulan terbeli kain dan saya buat saja.

"Lagipun, saya menjadi duta Jakel Textile dan banyak saja baju tajaan mereka berikan dan tak perlu beli. Persiapan raya lebih kepada meluangkan masa bersama keluarga saja.

"Kita sekarang dalam Perintah Kawalan Pergerakan (PKP). Nak ke mana-mana pun tak boleh. Jadi, lebih baik duduk rumah saja," katanya.

Pada 28 April lalu, pasangan ini mengumumkan berita gembira mengenai kehamilan Ayda yang sudah berusia empat bulan. Semestinya, ia berita terindah buat pasangan itu dan rezeki yang dinantikan.

Ramai tahu penyanyi dan pelakon itu cukup terkenal dengan kerja kerasnya yang tidak berpenghujung sepanjang kariernya.

Justeru, melangkah ke alam perkahwinan pastinya transisi cukup besar buatnya.

Bercerita mengenai kerjaya selepas ini, Ayda tidak menafikan akan lebih berhati-hati memilih tawaran yang diberikan.

Semestinya dia perlu mengutamakan kesihatan serta kandungannya dalam tempoh beberapa bulan mendatang.

Disebabkan itu, pengurusannya menyokong serta melonggarkan jadual seninya selepas ini demi memastikan kesihatannya sentiasa terjaga.

Menurutnya, banyak fokus kerja selepas ini tertumpu kepada jenama produk.

"Corak kerja saya sebelum ini memang terlalu ekstrim di mana jadual saya menuntut untuk kerja hingga malam tanpa henti. Namun, selepas kehamilan ini, pengurusan bersetuju untuk mengambil tawaran yang lebih bersesuaian untuk saya.

"Untuk menyanyi pula, persembahan yang memerlukan saya menari memang akan terpaksa tolak dulu. Ini kerana lagu saya menuntut saya menari lincah termasuk sebuah acara besar baru-baru ini," katanya.

Namun, penyanyi Parah ini sebaliknya masih akan terus sibuk selepas ini kerana pelbagai tawaran jenama produk pula diterima.

"Selepas pengumuman kehamilan itu saja, semakin banyak pula rezeki masuk dan kerja saya bertambah. Banyak jenama mahu bekerjasama dengan saya terutama yang berkaitan dengan kehamilan," katanya.

NABIL pastikan serba-serbi Ayda dijaga rapi.
NABIL pastikan serba-serbi Ayda dijaga rapi.

Nabil tunai setiap permintaan Ayda

Manisnya pengalaman bergelar ibu bapa buat pertama kali, demikian juga dirasa Ayda dan Nabil. Semestinya, mereka menggalas tanggungjawab itu memastikan proses kehamilan dipermudahkan.

Demikian juga yang dilakukan Nabil. Dia mengakui tidak kisah bersengkang mata untuk memberikan yang terbaik untuk isteri tercintanya termasuk menunaikan setiap permintaannya.

"Boleh dikatakan, apa saya yang dia mahu, saya akan usahakan. Dia nak saya mengemas, memasak atau apa-apa, saya cuba tunaikan kerana banyak masa dia memang tak larat untuk lakukannya.

"Saya juga sentiasa memantau bagaimana kandungannya demi memastikan isteri dan bayi itu sihat. Saya juga tidak akan sesuka hati beri kebenaran dia untuk keluar contohnya menghadiri acara, penggambaran atau apa-apa. Saya akan pastikan untuk mematuhi setiap langkah keselamatan baik untuk dirinya juga diri saya," katanya.

Terdahulu, Ayda mendedahkan dia hampir mengalami keguguran kerana berdepan tekanan kerja selain khabar angin mengenai berita kehamilannya disebarkan tanpa izin. Dia juga terpaksa dikejarkan ke hospital kerana mengalami pendarahan.

Disebabkan komitmen kerja yang perlu dibuat dalam tempoh singkat, ia menyebabkan Ayda menjadi terlalu penat. Dia turut mengakui berdepan alahan teruk selain sepanjang kehamilannya itu.

Pasangan ini mendirikan rumah tangga dalam majlis sederhana pada 1 Januari lalu. Sebelumnya, majlis pertunangan mereka dibuat secara dalam talian pada 28 April tahun lalu kerana terikat dengan PKP.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 15 Mei 2021 @ 6:00 AM