Najiy Jefri


Kuala Lumpur: Suami penyanyi dan pelakon Ayda Jebat iaitu Nabil Mahir sebak setiap kali menonton video kejutan kehamilan yang dilakukan isterinya itu.

Nabil berkata, perasaan sedih pasti terbit apabila mengenangkan detik indah yang begitu bermakna dalam hidupnya itu.

Katanya, dia tidak menyangka bakal bergelar bapa selepas beberapa bulan mendirikan rumah tangga pada awal tahun ini.

"Walaupun saya sudah menonton video itu beberapa kali, tapi ia masih membuatkan air mata saya mengalir.

"Ini kerana setiap kali tengok, ia mengingatkan saya detik pertama kali saya dapat berita gembira itu," katanya.

Sementara itu, Ayda menjelaskan video kejutan yang turut dikongsikan di Instagram masing-masing itu adalah respon spontan daripada bekas pengacara HLive! itu.

"Nabil memang tidak jangka kejutan ini sebenarnya. Ketika itu kami berada di pejabat dan saya secara senyap-senyap meminta pengurus peribadi untuk belikan alat ujian kehamilan.

"Saya pesan belilah dua sebab saya tak pernah guna benda itu. Saya beritahu dia, saya saja nak cuba.

"Bila pertama kali cuba, ia seperti rosak. Kali kedua barulah berhasil. Ketika itu kandungan baru mencecah dua minggu. Saya sendiri tidak percaya, betul ke?

"Jadi, saya terfikir untuk buat kejutan pada Nabil. Saya minta kotak susu dikosongkan dan letakkan alat ujian kehamilan itu. Saya panggil dia kononnya untuk promosikan air minuman itu. Apa yang anda lihat adalah reaksi spontan Nabil, bukan dibuat-buat," katanya.

Terdahulu, pasangan selebriti itu mengumumkan usia kandungan Ayda sudah memasuki empat bulan pada Majlis Berbuka Puasa Bersama Ayda Jebat & Nabil Mahir di sebuah hotel terkemuka di sini, baru-baru ini.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 4 Mei 2021 @ 3:23 PM