ENDANG menggesek biola ketika menghiburkan peminatnya. FOTO ihsan pembaca
ENDANG menggesek biola ketika menghiburkan peminatnya. FOTO ihsan pembaca
Redzuan Muharam


Kuala Lumpur: Pemain biola, Endang Zainuddin pernah mengiringi persembahan Tun Dr Siti Hasmah Mohd Ali selain penyanyi terkenal seperti Siti Nurhaliza, Amy Search dan Aizat Amdan satu ketika dulu.

Malah, ibu tiga anak berusia 35 tahun itu juga pernah diundang membuat persembahan di luar Korea Selatan, Barcelona, Sepanyol, Dubai, Emiriah Arab Bersatu (UAE), United Kingdom, Belgium, Shanghai, China, Paris dan Perancis hasil kepercayaan penganjur terhadap bakat dimilikinya.

Namun, pandemik Covid-19 membataskan Endang membuat persembahan seperti dulu dan disebabkan itu, dia beralih ke platform digital iaitu Twitter serta Youtube bagi melepasan rindu bermain biola di khalayak ramai.

Endang ketika bersama Dr Siti Hasmah. FOTO ihsan pembaca
Endang ketika bersama Dr Siti Hasmah. FOTO ihsan pembaca

Sejak aktif di platform berkenaan, Endang giat memuat naik sekurang-kurangnya satu video setiap hari yang mempamerkan aksinya bermain biola diiringi pelbagai jenis lagu.

"Pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) bermula Mac tahun lalu menyebabkan tiga majlis membabitkan saya dibatalkan.

"Jadi, saya terpaksa memulangkan semula wang pendahuluan diterima kepada penganjur manakala acara yang lain ditunda ke satu tarikh belum ditetapkan.

"Bagi mengisi masa terluang, saya cuba hiburkan pengikut di platform digital dan mereka yang menonton boleh memberi tip seikhlas hati tanpa paksaan," katanya ketika dihubungi Harian Metro.

Berkongsi latar belakangnya, Endang berkata, dia pernah bekerja secara kontrak sebagai pemain biola di Istana Budaya, Kuala Lumpur pada 2010 hingga 2014.

"Pada tahun 2017, saya mula bergerak sendiri dengan menjadi guru biola sekitar ibu kota. Tahun berikutnya, saya ambil keputusan berhijrah ke Kampar, Perak dan meskipun tidak lagi menetap di Kuala Lumpur, saya masih menerima tawaran untuk membuat persembahan di sana.

"Cuma, pandemik belum reda jadi tawaran diterima tidak seperti dulu. Maka, saya cuba bergantung dengan wang simpanan yang ada selain menjual barangan peribadi seperti komputer dan biola kesayangan selain mengurangkan komitmen bulanan demi kelangsungan hidup," katanya.

Endang berkata, apa yang diharapkannya kini bukan wang ringgit semata-mata tetapi doa daripada orang ramai supaya dia terus diberi kesihatan dan kekuatan untuk berdepan dengan ujian yang datang.

"Covid-19 benar-benar memberi tamparan hebat buat saya dan pastinya ramai individu lain di luar sana. Namun, saya enggan berputus asa dan berharap pengikut di Twitter dan Youtube terus beri sokongan dengan memberi tip jika suka dengan persembahan saya.

"Wang itu bukan digunakan untuk kegunaan peribadi tetapi bagi membayar upah individu menjaga anak, ibu dan ayah sepanjang saya di hospital bagi menjalani pembedahan pangkal hidung, April depan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 26 Mac 2021 @ 8:00 PM