Jamal, M Nasir dan Cassidy akan beraksi di Istana Budaya. FOTO HM Digital
Jamal, M Nasir dan Cassidy akan beraksi di Istana Budaya. FOTO HM Digital
Ramlah Zainal


ISTERI Perdana Menteri, Tun Dr Siti Hasmah Mohd Ali akan menggesek biola untuk mengiringi persembahan Datuk Jamal Abdillah dan Datuk M Nasir sempena Konsert Duo Legenda yang akan berlangsung pada 22 Disember ini.

Menurut Jamal, dia dan M Nasir akan mengiringi persembahan Siti Hasmah menerusi lagu berjudul Gubahanku pada segmen istimewa pada malam VVIP itu nanti.

“Kali pertama saya bertemu Siti Hasmah, beliau sangat teruja dengan idea ini sambil menggenggam tangan isteri yang turut berada pada pertemuan terbabit sebelum ini.

“Difahamkan Dr Siti Hasmah juga kini giat menghadiri kelas biola untuk segmen itu nanti.

“Pada mulanya, saya merancang untuk Siti Hasmah bermain biola untuk dua lagu tetapi akhirnya kami bersetuju untuk satu lagu saja,” katanya pada sidang media Konsert Duo Lagenda di Istana Budaya (IB), hari ini.

Hadir sama, Ketua Pengarah IB, Datuk Mohamed Juhari Shaarani, M Nasir dan penyanyi kelahiran Australia mencipta nama di Malaysia, Cassidy Anderson yang turut menjadi artis undangan konsert itu.

Selaku penerbit konsert, Jamal berkata, segmen istinewa itu khusus untuk mengutip dana untuk disalurkan kepada golongan yang kurang berkemampuan.

“Pihak kami juga tidak meletakkan sasaran dari segi kutipan dana untuk malam VVIP yang hanya berlangsung satu malam saja nanti.

“Saya berharap ramai pihak korporat akan sama sama tampil ke depan untuk sama membantu mengumpul dana nanti,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 1 November 2018 @ 8:57 PM