PERLU sentiasa konsisten dan fleksibel.
PERLU sentiasa konsisten dan fleksibel.
Muhamaad Razis Ismail


BARU-BARU ini tular di media sosial seorang wanita menggesek biola di Pusat Pemberian Vaksin (PPV) Setia City Convention Centre (SCCC), Shah Alam, Selangor.

Gesekan biola wanita berpakaian serba hitam itu sedikit sebanyak memberikan ketenangan dan mengurangkan rasa gugup kepada mereka yang hadir.

Wanita di sebalik pelitup muka itu ialah Syahirah Ismail, 27, penggesek biola solo yang memiliki pengalaman luas membuat persembahan di pentas besar.

Syahirah atau lebih mesra disapa Syerot, mengakui peluang membuat persembahan di PPV antara pengalaman yang sukar dilupakan.

"Pada mulanya saya bimbang dengan penerimaan masyarakat mengenai kesesuaian persembahan bermain biola di PPV.

"Alhamdulillah selepas selesai ramai yang beri maklum balas positif dan pada masa sama ia menguatkan lagi persepsi saya terhadap semua rakyat Malaysia tidak kira bangsa dan agama yang sebenarnya begitu menghargai muzik dan persembahan tempoh hari," katanya ketika dihubungi baru-baru ini.

Menurutnya, minat terhadap biola tercetus selepas dicabar arwah ayahnya kerana tidak ramai yang bermain peralatan muzik itu.

"Jadi, saya memilih biola sebagai peralatan muzik utama untuk pengajian saya di Fakulti Muzik, Universiti Teknologi Mara (UiTM) pada 2012. Sejak itu, minat saya terhadap biola mula bercambah.

BERGANDINGAN dengan Datuk Hattan.
BERGANDINGAN dengan Datuk Hattan.

"Saya ingin buktikan kepada arwah ayah yang juga seorang ahli muzik, bahawa saya boleh menjadi seorang penggesek biola yang berjaya satu hari nanti," katanya.

Anak bongsu daripada enam beradik itu turut mengakui biola antara peralatan muzik yang paling sukar untuk dikuasai.

KELUARGA yang memberi sokongan dan dorongan.
KELUARGA yang memberi sokongan dan dorongan.

"Sepanjang tempoh pembelajaran saya mengalami kesukaran kerana teknik untuk memainkan peralatan itu sangat sukar dan perlukan latihan yang banyak selain harus belajar mengenai teori muzik.

"Saya mengakui hampir berputus asa untuk menggesek biola kerana tidak dapat memberi yang terbaik dan tiada kemajuan namun sokongan serta dorongan daripada guru, rakan dan keluarga, saya teruskan sehingga tamat diploma kemudian mengikuti pengajian ijazah sarjana muda persembahan muzik pada 2015 hingga 2017.

"Selepas hampir lima tahun proses pembelajaran baru saya memperoleh keyakinan untuk membuat persembahan di depan khalayak ramai. Sehingga hari ini, saya masih menghubungi guru-guru saya untuk belajar menjadi seorang penggesek biola berjaya," katanya.

Jelasnya, sebelum negara diserang pandemik Covid-19, dia mendapat banyak jemputan membuat persembahan di pelbagai majlis di serata negara.

"Setiap hujung minggu saya memang akan sibuk dengan majlis perkahwinan di serata Malaysia. Pendapatan saya juga melebihi empat angka sebulan hanya dengan menggesek biola.

"Kini akibat pandemik, saya terpaksa berehat dulu dan berniaga popia pisang coklat untuk menjana pendapatan sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP)," katanya.

BIOLA (kanan) pemberian arwah ayahnya.
BIOLA (kanan) pemberian arwah ayahnya.

Berkongsi pengalaman manis, Syerot berkata, peluang berduet dengan Tun Dr Siti Hasmah Mohamad Ali di atas pentas juga antara kenangan manis yang tidak boleh dilupakan.

"Selain itu, saya pernah menggesek biola satu pentas dengan ramai artis hebat termasuk Datuk Jamal Abdillah, Datuk Hattan dan Ella.

"Tidak lupa juga saya dapat menggesek biola bersama pemuzik yang hebat seperti Istana Budaya, Radio Televisyen Malaysia (RTM), Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) dan sebagainya," katanya.

Katanya, sebagai penggesek biola, dia perlu sentiasa relevan dan fleksibel untuk mampu bermain pelbagai genre.

"Pada masa sama, saya perlu konsisten dan memperbaiki teknik menggesek biola untuk pelbagai genre lagu seperti Melayu asli, klasik, jazz dan sebagainya.

"Cabaran lain termasuk persaingan sihat dengan penggesek biola yang lain dan saya harus mencari keunikan supaya mempunyai 'trademark' sendiri," katanya.

Dia bersyukur kini masyarakat sudah dapat menerima alunan muzik daripada gesekan biola yang dipersembahkan.

"Antara lagu kegemaran dan sering mendapat perhatian penonton adalah lagu dari filem Mohabbatein, Humko Hamise Chura Lo.

"Tanggapan positif dan negatif itu tetap ada. Yang positif saya ambil sebagai kata-kata semangat manakala yang negatif, saya jadikan sebagai iktibar kerana setiap individu mempunyai pendapat berbeza," katanya.

Ditanya mengenai perancangan masa hadapan, dia berhasrat membuat persembahan ke tempat yang lebih jauh dan setanding dengan pemuzik hebat di serata dunia.

"Harapan saya pandemik ini berakhir dengan segera supaya kita semua dapat kembali seperti sedia kala," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 29 Julai 2021 @ 7:00 AM