Brenda Liew (dua dari kanan) bersama Ell Zain  (kanan) membuat panggilan video melalui telefon bersama ayahnya yang berada di hospital Permaisuri Bainun di kediamannya di Kampar. FOTO SHARUL HAFIZ ZAM
Brenda Liew (dua dari kanan) bersama Ell Zain (kanan) membuat panggilan video melalui telefon bersama ayahnya yang berada di hospital Permaisuri Bainun di kediamannya di Kampar. FOTO SHARUL HAFIZ ZAM
Balqis Jazimah Zahari


Ipoh: Morinaga Milk Malaysia (MMM) menyalurkan dana berjumlah RM20,000 kepada pemain biola profesional Ell Zain Hyder Zainuddin atau lebih dikenali sebagai Endang Hyder, 34, bagi menampung keperluan penjagaan bapanya.

Pengarah Urusannya Brenda Liew berkata, pihaknya tersentuh dengan kisah pemain biola berbakat itu apabila berhasrat menjual biola Jerman miliknya bagi menampung keperluan penjagaan bapanya Zainuddin Mohd Ottok yang menghidap penyakit diabetis dan baru sahaja kehilangan kedua-dua belah kakinya.

"Pada mulanya kami tersentuh dengan kisah Endang Hyder yang ingin terus berbakti kepada bapanya dan kami ingin membantunya dengan cara membeli biola daripadanya.

"Namun, kami sangat memahami bahawa biola itu mempunyai nilai sentimental dan amat berharga buat Endang. Jadi hari ini yang juga tarikh kelahiran bapanya, kami merancang untuk membuat kejutan dengan melakukan serahan sumbangan serta menghadiahkan semula biola berkenaan kepadanya," katanya ketika ditemui di kediaman keluarga Endang di Taman Bandar Baru, Kampar, di sini.

Beliau berkata, pihaknya turut menyediakan kejutan untuk anak-anak Endang yang juga diberikan hadiah berupa premium khas daripada MMM serta susu formula Morinaga Chil-kid.

"Sumbangan itu adalah sebahagian daripada tanggungjawab sosial korporat (CSR) syarikat dan keprihatinan untuk membantu mereka yang memerlukan terutama sekali mereka yang terjejas akibat pandemik Covid-19," katanya.

Morinaga Milk Industry Co Ltd adalah syarikat produk tenusu kedua terbesar di Jepun dan mempunyai sejarah lebih 50 tahun di Malaysia.

Syarikat itu memperkenalkan produk terbarunya, Morinaga Chil-kid yang juga susu tepung formula untuk kanak-kanak berusia satu tahun dan keatas, sesuai untuk kanak-kanak Asia serta diiktiraf halal.

Sementara itu, Endang kelihatan terharu dengan kejutan yang diterima daripada pihak MMM apabila menghadiahkan semula biola berkenaan.

"Saya gembira, terima kasih kepada MMM yang prihatin dan saya akan berusaha lebih lagi selepas ini," katanya.

Endang mengakui dirinya selaku pemain biola turut terkesan dengan pandemik Covid-19 dan kini hampir tidak menerima sebarang undangan untuk membuat persembahan.

"Sejujurnya, boleh dikatakan setiap bulan saya akan mendapat tiga hingga empat undangan untuk membuat persembahan di pelbagai majlis sekitar Kuala Lumpur sehingga ke luar negara, itulah sumber pendapatan saya.

"Tetapi selepas Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), saya memang sudah langsung tidak menerima sebarang undangan untuk menjana pendapatan," katanya.

Menurutnya, berikutan itu dia membuat keputusan untuk menjual salah satu biola jenis klasik yang dimiliki bagi menampung keperluan keluarga serta penjagaan bapanya yang menghidap diabetis dan pelbagai penyakit lain.

Katanya, dia antara pemuzik biola yang pernah mengajar isteri bekas Perdana Menteri, Tun Dr Siti Hasmah Mohd Ali, dan ketika berdepan situasi sukar isteri pemimpin itu juga pernah membantu dengan mengundangnya membuat persembahan secara peribadi.

"Saya mula bermain biola sejak berusia 10 tahun di bawah Jabatan Kebudayaan dan Keseniaan Negara (JKKN) Perak.

"Saya kemudian mengajar ketika berusia 17 tahun selepas memiliki Diploma in London College Music (LCM) dan Ijazah dalam Pengajian Muzik Klasik dari institusi pengajian di dalam negara," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 3 Disember 2020 @ 8:22 PM