Muhammad Saufi Hassan


Kuala Lumpur: Terdapat lebih 10 hauzah (rumah ibadat Syiah) yang beroperasi di seluruh negara dan ia turut digunakan sebagai pusat aktiviti serta markas gerakan terbabit.

Hauzah itu juga digunakan untuk aktiviti kemasyarakatan dan pertemuan antara pengikut.

Namun kini pengikut ajaran terbabit bergerak dalam kumpulan lebih kecil untuk mengelak dikesan pihak berkuasa.

Presiden Pertubuhan Ahli Sunnah Wal Jamaah (Aswaja), Dr Zamihan Mat Zin berkata, taktik gerakan Syiah berubah kerana mereka juga bimbang yang gerakan terbabit dikesan pihak berkuasa seterusnya menyebabkan hauzah aktif diserbu.

Zamihan yang pernah membentangkan kertas kerja Ancaman Syiah terhadap keselamatan negara ketika Mesyuarat Khas Majlis Raja-Raja pada beberapa tahun lalu menyatakan, gerakan Syiah tidak pernah berhenti sebaliknya lebih senyap untuk mengelak daripada dikesan.

GAMBAR HIASAN
GAMBAR HIASAN

"Ajaran terbabit cenderung untuk beralih kepada tahap radikal jika mempunyai pengikut majoriti di sesebuah kawasan dan perkara itu perlu dielakkan," katanya kepada Metro Ahad.

Menurut Zamihan, Hauzah turut dijadikan tempat untuk pengikut gerakan Syiah merekrut ahli baharu.

"Hauzah ini biasanya akan dihiasi dengan ilustrasi gambar Saidina Ali dan lukisan potret Imam 12 yang mereka percaya adalah bersifat maksum.

"Selain itu, hauzah ini juga akan menempatkan batu karbala yang dijadikan alas untuk bersujud dan kebiasaannya ia berbentuk bulat dengan tanah yang dimampatkan," katanya.

DR ZAMIHAN MAT ZIN
DR ZAMIHAN MAT ZIN

Zamihan yang juga Pegawai Agama Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) berkata, kebanyakan hauzah ini dibuat di lot rumah kedai untuk menyukarkan pihak berkuasa mengesannya.

Katanya, gerakan kumpulan itu juga sudah semakin mengecil antara lima hingga 10 orang untuk sesebuah sesi.

"Jika kita ingin menyentuh kesesatan gerakan ini pula, terdapat terlalu banyak percanggahan yang ketara dalam bidang akidah dan mereka turut membenarkan apa yang diharamkan oleh syarak secara jelas.

"Antara kesesatan yang jelas adalah menghalalkan nikah kontrak atau nikah mutaah dan beranggapan bahawa Allah SWT tidak mengetahui perkara yang seni atau halus.

"Ini jelas bertentangan dengan akidah Ahli Sunah Waljamaah yang dipegang dan pengamalan ajaran ini perlu dibanteras," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 21 Mac 2021 @ 1:00 PM