Datuk Seri Hamzah Zainuddin. FOTO MOHD FADLI HAMZAH
Datuk Seri Hamzah Zainuddin. FOTO MOHD FADLI HAMZAH
Skuad Khas Harian Metro


Putrajaya: Kementerian Dalam Negeri (KDN) akan mengarahkan Polis Diraja Malaysia (PDRM) untuk mengambil tindakan mengikut Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (Sosma) kepada mana-mana individu yang cuba menimbulkan kegusaran, menakut-nakutkan dan menganggu ketenteraman awam.

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hamzah Zainuddin berkata, tindakan itu adalah selari dengan dasar KDN sebagai sebuah kementerian yang ingin memastikan keamanan negara dapat dijaga dengan baik.

"Ada macam-macam jenis manusia, kalau orang nak keluarkan kenyataan yang boleh menghasut, menakut-nakutkan, PDRM boleh ambil tindakan sewajarnya.

"Kalau dia lakukan sesuatu melanggar undang-undang contohnya percetakan juga boleh ambil (tindakan) ikut sudut (perundangan) tersebut.

"Kalau menghasut hingga ada orang rasa tidak selesa dan cuba lari daripada negara, itu sesuatu yang boleh menimbulkan perasaan gusar, takut boleh ambil tindakan mungkin dalam undang-undang Sosma," katanya kepada pemberita ketika sidang media khas di Kompleks D, KDN, di sini, hari ini.

Kenyataan itu dibuat beliau bagi mengulas tindakan akan diambil KDN susulan laporan Metro Ahad berhubung seorang wanita yang menggunakan gelaran Sittah Annur dan mendakwa kononnya akan berlaku Perang Dunia Ketiga bermula di Sabah serta memimpin pasukannya bagi mencari Imam Mahdi untuk melawan musuh.

Dalam pada itu, Hamzah menegaskan KDN turut akan melihat tindakan sewajarnya terhadap Sittah Annur yang dipercayai cuba mengumpul pengikut dalam kalangan penjawat awam.

"Kadang-kadang manusia tersilap makan ubat, tersilap makan makan macam-macam sampaikan tuduhan macam itu pun boleh ikut. Pengikut lain, yang menghasut lain. Sama-sama perhatikan tindakan lain yang wajar," katanya.

Laporan Harian Metro
Laporan Harian Metro

Bermula 29 Ogos lalu, Harian Metro melaporkan, seorang wanita berusia 39 tahun yang menggunakan gelaran Sittah Annur didakwa mula mengembangkan ajaran PMYT yang dipercayai bertentangan dengan ajaran Islam sebenar.

Wanita berasal dari Kelantan dan menetap di Shah Alam itu dikesan sejak enam bulan lalu menggunakan media sosial seperti Facebook (FB), YouTube dan Telegram untuk berkongsi pelbagai ramalan termasuk Perang Dunia Ketiga kononnya berlaku di Sabah sebelum dia memimpin pasukannya untuk mencari Imam Mahdi bagi melawan musuh.

Selain bercerita mengenai peperangan itu, Sittah Annur turut mendakwa dirinya beryaqazah dengan malaikat dan bertemu secara jaga (sedar) dengan Nabi Muhammad SAW dan merangka pelan keluar bersama pengikutnya jika peperangan berlaku.

Malah, bagi meyakinkan pengikutnya, Sittah Annur turut dikesan menjaja nama beberapa orang pemimpin negara, pemimpin dunia dan tokoh agama sebagai khalifah kepada ajarannya itu.

Lebih membimbangkan, perancangan teliti ala tentera dirancang kumpulan itu membabitkan pergerakan ke 29 lokasi di seluruh negara sebaik berlakunya serangan di Sabah.

Maklumat risikan mendedahkan, kumpulan ini sudah membentuk 22 kumpulan Telegram yang menjadikan medium perbincangan antara Sittah Annur dan kira-kira 3,000 pengikutnya terdiri daripada orang awam, pesara kerajaan, doktor, anggota polis dan tentera.

Susulan pendedahan Harian Metro, pelbagai pertubuhan bukan kerajaan (NGO) tampil membuat laporan polis di seluruh negara mendesak pihak berkuasa agama dan PDRM mengambil tindakan segera terhadap kumpulan berkenaan yang disifatkan mengganggu ketenteraman awam selain menyimpang daripada ajaran Islam sebenar.

Harian Metro difahamkan, setakat ini terdapat 12 laporan polis dibuat di seluruh negara selain pelbagai pihak berkuasa agama negeri termasuk Jakim dan Mufti menyifatkan ajaran ini terpesong daripada Islam.

Hamzah ketika hadir di sidang media khas di Putrajaya. FOTO MOHD FADLI HAMZAH
Hamzah ketika hadir di sidang media khas di Putrajaya. FOTO MOHD FADLI HAMZAH

Berita berkaitan:

  • 'Bersiap hadapi Perang Dunia Ketiga'

  • Mirip kumpulan radikal

  • Nafi masjid lokasi perjumpaan, gesa polis segerakan tindakan

  • 'Sebar fahaman khurafat, mengarut'

  • PMYT: 3 NGO gesa polis, jabatan agama ambil tindakan segera

  • Ambil tindakan segera - Permas [METROTV]

  • Fahaman PMYT dikhuatiri merosakkan akidah: Jakim

  • Selamatkan akidah pengikut PMYT

  • 8 lagi NGO lapor polis, gesa tindakan segera terhadap PMYT [METROTV]

  • Ketua ajaran PMYT ancam 'ragut nyawa' - Dr Zamihan
  • Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 1 September 2021 @ 2:19 PM