GAMBAR hiasan. FOTO Arkib NSTP
GAMBAR hiasan. FOTO Arkib NSTP
Redzuan Muharam


ENAM resolusi digariskan bagi mengekang ajaran Syiah di negara ini menerusi Konvensyen Ilmu Sunnah Dot COM 2019 (K-iSDC 2019) yang berlangsung di sebuah hotel di Putrajaya, hari ini.

Setiausaha Ilmuan Malaysia (ILMU), Ahmad Fazrin Yahaya berkata, antara resolusi terkandung di K-iSDC 2019 adalah harapan tinggi kepada Majlis Raja-Raja untuk mengambil segala langkah yang sewajarnya dalam melipatgandakan usaha mengekang gerakan itu.

Beliau berkata, K-iSDC 2019 turut menggesa jabatan agama negeri dan Kerajaan Persekutuan secara umumnya, untuk menyebarluaskan kempen menerusi pelbagai medium komunikasi bagi meningkatkan kesedaran berhubung kesesatan dan bahaya ajaran Syiah.

Di samping itu, katanya, Kerajaan juga diseru untuk menyekat sebarang ruang media kepada mana-mana kumpulan Syiah atau pembelanya yang berhasrat menzahirkan pemikiran atau tuntutan mereka.

“Merealisasikan hasrat itu juga, K-iSDC 2019 mencadangkan penganjuran segera satu persidangan ulama Ahli Sunnah Wal Jamaah peringkat antarabangsa di bawah payung Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC).

“Ia bagi membincangkan tajuk utama berkaitan bahaya ajaran Syiah, selain Malaysia dicadangkan sebagai negara penganjur bagi persidangan itu,” katanya menerusi satu kenyataan media.

AHMAD Fazrin membentangkan enam resolusi mengekang ajaran Syiah pada sidang media di Putrajaya. FOTO Ihsan ILMU
AHMAD Fazrin membentangkan enam resolusi mengekang ajaran Syiah pada sidang media di Putrajaya. FOTO Ihsan ILMU

Dalam pada itu, Ahmad Fazrin berkata, resolusi lain adalah menyeru Kerajaan untuk terus bersama dengan negara Islam untuk memperkukuhkan kesatuan umat Islam di bawah payung OIC diketuai oleh Arab Saudi.

“Pada masa sama, Kerajaan perlu berwaspada daripada bekerjasama dengan pihak yang mempunyai agenda untuk memporak-perandakan kesatuan ini.

“Manakala, masyarakat Islam diseru untuk bersama-sama berusaha menolak ajaran Syiah dengan menambah ilmu dan maklumat berkaitan menerusi pengajian ilmu yang berterusan,” katanya.

Sementara itu, Atase Agama Kedutaan Arab Saudi di Kuala Lumpur, Syeikh Abdurrahman Bin Ibrahim Al - Rubai’in menyeru umat Islam di negara ini supaya bersatu padu dalam mendepani ancaman akidah.

Katanya, antara cabaran yang dihadapi oleh umat Islam pada hari ini ialah perpecahan yang dibawa oleh ajaran Syiah.

“Perbezaan antara Ahli Sunnah dengan Syiah bukan membabitkan soal Fiqiyyah semata-mata, tetapi juga di antara haq dengan yang batil.

“Ulama terdahulu sudah melakukan usaha Taqrib (mendekati) kelompok ini. Namun begitu, ia suatu usaha yang sia-sia kerana tidak wujud sebarang titik pertemuan di antara Sunnah dan Syiah,” katanya.

Katanya, penyatuan kedua-duanya, di antara Syiah dan sunnah, tidak akan tercapai disebabkan sikap pengikut Syiah sendiri kerana tidak mengiktiraf al-Quran yang berada di sisi ahli Sunnah.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 5 January 2020 @ 3:41 PM