MADRASAH dipercayai mengutip dana awam secara tidak sah menggunakan lelaki digelar  Mawla.
MADRASAH dipercayai mengutip dana awam secara tidak sah menggunakan lelaki digelar Mawla.
Oleh Skuad Khas Harian Metro


Kuala Lumpur: Bukan saja berdepan isu pukul dan mencederakan pelajar, mudir sebuah madrasah tahfiz di Selangor seperti didedahkan akhbar ini turut membeli sebidang tanah seluas 11 hektar di Melaka untuk membina perkampungan Kerajaan 9 yang dikatakan akan menjadi persiapan akhir zaman kepada pengikutnya.

Tanah milik bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Melaka dibeli baru-baru ini dan dikatakan akan menjadi penempatan individu dari luar yang diangkat menjadi Imam Mahdi.

Presiden Pertubuhan Ahli Sunnah Wal Jamaah (Aswaja) Dr Zamihan Mat Zin berkata, berdasarkan maklumat diperoleh mendapati mudir madrasah terbabit aktif mempromosi seorang lelaki yang mengaku berasal dari keturunan Rasulullah SAW yang tular sebelum ini.

"Hasil maklumat mendapati madrasah ini terbabit mengutip dana awam secara tidak sah menggunakan lelaki digelar Mawla ini.

"Kerajaan 9 ini berteraskan kepada tiga elemen iaitu kebajikan, khidmat dan perniagaan dan pengikut bergelar Ahli Khidmat akan menggerakkannya.

Dr Zamihan Mat Zin.
Dr Zamihan Mat Zin.

"Siasatan awal menunjukkan mereka mengumpul dana jutaan ringgit dan mengaburi mata pengikut dengan mendakwa ia untuk kerja dakwah," katanya.

Beliau berkata, selain mempromosi usaha dakwah bersama Mawla terbabit, mereka dikesan menjual gambar didakwa sebagai Rasulullah SAW dengan harga puluhan ribu ringgit.

Katanya, ia jelas tindakan penyelewengan akidah dan memperguna agama untuk kepentingan sendiri.

"Ramai percaya Mawla terbabit keturunan Rasulullah SAW, jadi mereka sanggup sertai program dianjurkan termasuk pameran artifak Rasulullah SAW, majlis selawat dan mengerjakan umrah.

"Malah, kerana terpengaruh dengan dakyah dibawa Mawla terbabit menyebabkan ada dalam kalangan orang kenamaan, penulis lirik terkenal, artis wanita, bekas akauntan bank, jurutera dan pakar dalam bidang lain turut menjadi Ahli Khidmat," katanya.

Menurutnya, setiap Ahli Khidmat mempunyai peranan masing-masing dalam Kerajaan 9 bertujuan mengukuhkan sumber kewangan dan mencari lebih ramai pengikut bagi mengangkat Mawla sebagai Imam Mahdi di perkampungan Melaka itu.

"Kerajaan 9 juga merangka pelan membina hotel mesra Muslim bagi mengukuhkan rangkaian mereka mendapat dana untuk meneruskan aktiviti bercanggah itu.

"Malah, antara alasan memilih Melaka sebagai kawasan perkampungan kerana kononnya bagi membangkitkan semula semangat Hang Tuah dan kegemilangan Melayu era kesultanan Melaka," katanya.

Sementara itu, sumber keselamatan berkata, mereka cuba membeli kapal bernilai jutaan ringgit dengan alasan apabila berlaku peperangan akhir zaman, kapal itu dapat digunakan.

"Malah, bagi mengukuhkan kepercayaan orang ramai, mudir madrasah terbabit mengaku mempunyai 'karamah' dapat bercakap dengan wali Allah yang sudah meninggal dunia dan menyampaikan pesanan wali Allah.

"Tidak cukup dengan itu, mudir terbabit mendakwa dapat mengetahui susur galur seseorang hanya dengan melihat dan memperdaya kononnya seseorang itu berketurunan pahlawan bagi meyakinkan untuk mengikut mereka dan membantu menyalurkan dana," katanya.

Niat tubuh daulah baharu ancam keselamatan negara

Kuala Lumpur: Tema 'Hari Kiamat' serta membangunkan 'kerajaan Imam Mahdi' dua resipi paling ampuh menarik ramai pengikut serta dana awam.

Namun ia juga menimbulkan ancaman keselamatan apabila wujud pihak tertentu ingin menegakkan agenda politik mereka sendiri, sekali gus memberi gambaran penentangan kepada kerajaan arus perdana sedia ada.

Pensyarah Jabatan Hubungan Antarabangsa, Keselamatan dan Undang-Undang, Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM) Prof Dr Mohd Mizan Mohd Aslam berkata, motif mendirikan Kerajaan 9 ini jelas iaitu mahu mendirikan daulah atau ideologi acuan golongan tertentu.

"Apabila kita sentuh agenda menegakkan daulah baharu maka wujud ancaman jelas kepada keselamatan serta keharmonian negara.

Prof Dr Mohd Mizan Mohd Aslam
Prof Dr Mohd Mizan Mohd Aslam

"Pada pandangan golongan ini, kerajaan arus perdana tidak memenuhi agenda ideologi atau tidak memenuhi tatakelola mereka maka perlunya dibangunkan kerajaan baharu kononnya berteraskan kepada prinsip 'Al Mahdi'.

"Apabila mereka sudah berjaya beli tanah, sediakan lokasi khas untuk menegakkan daulah baharu ini, maka kita faham golongan ini mempunyai komitmen tinggi bagi merealisasikan impian terbabit," katanya.

Mohd Mizan berkata, perkara paling dibimbangkan adalah golongan ini masuk kepada fasa latihan untuk menyediakan pasukan yang mungkin bertindak bagi menjaga keamanan daulah ini.

Menurutnya, jika ia berlaku, maka jelas ancaman keselamatan itu memang wujud dan kebiasaannya, topografi piramid keganasan menjurus ke arah fasa latihan terbabit.

"Kalau kita teliti beberapa ajaran sesat tidak tertumpu kepada Islam semata-mata, tetapi 'ajaran ibrahimik' ini menggunakan tema sama iaitu kiamat serta pemimpin ditunggu-tunggu dan bagi orang Islam adalah al-Mahdi.

"Saya harap perkembangan kumpulan ini dapat dipantau dengan lebih dekat oleh agensi penguatkuasaan dan suatu langkah pembanterasan perlu dilaksanakan," katanya.

Tunjuk contoh baik 'pakai' jenama Islam

Pentadbir madrasah perlu mempamerkan contoh dan peribadi yang baik kepada anak didik di bawah jagaan mereka.

Mufti Pulau Pinang Datuk Seri Dr Wan Salim Wan Mohd Noor berkata, mereka perlu bersifat sopan santun dan lemah lembut, tidak kasar dan sifat buruk lain yang boleh merosakkan minda.

Katanya ia juga boleh mengecewakan harapan ibu bapa dan masyarakat amnya dengan kejadian yang berlaku.

"Memang dikesali jika ada institusi pendidikan memakai jenama Islam, tetapi melakukan tindakan bercanggah dengan nilai akhlak dalam Islam baik di sudut kehidupan peribadi, kekeluargaan atau sosial.

"Masyarakat hantar anak ke madrasah atau sekolah agama dengan harapan supaya murid diberi pelajaran dan pendidikan agama yang sebaik mungkin di samping peribadi mereka dapat dibentuk dengan akhlak yang unggul dan anggun.

"Maka menjadi tanggungjawab pihak pengurusan dan pentadbiran madrasah atau sekolah agama untuk merealisasikan harapan ibu bapa dan masyarakat sebagai amanah yang tidak wajar disia-siakan," katanya kepada Harian Metro.

Beliau mengulas laporan akhbar ini mengenai kejadian pukul di sebuah madrasah di Lembah Klang yang diserbu polis, baru-baru ini.

Katanya, kaedah pengajaran disarankan Islam melalui penyampaian ilmu daripada seorang guru kepada murid dengan menerangkan perkara dituntut agama terhadap penganutnya baik di sudut hubungan dengan Allah SWT mahupun hubungan dengan sesama manusia dan makhluk lain.

"Peranan guru bukan saja terhad pada penyampaian ilmu kepada anak didik, tetapi perlu menunjukkan contoh teladan baik kepada mereka dalam tata berkelakuan di dalam kehidupan peribadi dan di dalam pergaulan seharian.

"Ini kerana matlamat pendidikan dan pengajaran dalam Islam melahirkan manusia cerdik dan baik budi pekertinya. Manusia inilah yang berguna kepada negara, masyarakat dan bangsanya," katanya.

Duniawi, ukhrawi biarlah seimbang

Terdapat kira-kira 1,300 maahad tahfiz yang berdaftar manakala selebihnya tidak berdaftar menyebabkan wujud kekangan untuk memperkasakan Dasar Pendidikan Tahfiz Negara (DPTN) 2.0.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, justeru dasar pendidikan tahfiz di negara ini perlu digembleng antara aliran agama serta Pendidikan Teknikal dan Latihan Vokasional (TVET) sekali gus melahirkan huffaz profesional.

"Berdasarkan rekod kita, cuma terdapat kira-kira 1,300 maahad tahfiz yang berdaftar, manakala selebihnya tidak berdaftar kerana tidak memenuhi kriteria yang ditentukan oleh beberapa agensi.

"Antaranya kriteria yang sudah ditetapkan oleh bomba (Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia), pihak berkuasa tempatan (PBT) dan Jabatan Agama Islam Negeri (JAIN).

"Jadi, saya mengambil pendekatan dengan Yayasan Gabungan Persatuan Institusi Tahfiz al-Quran Kebangsaan (Pinta) untuk membantu maahad tahfiz yang tidak mendaftar ini supaya mereka memenuhi kriteria yang sudah ditetapkan oleh agensi berkaitan," katanya ketika ditemui dalam satu sesi temu bual bersama Harian Metro, baru-baru ini.

Ahmad Zahid berkata, institusi tahfiz di negara ini perlu dilengkapi dengan aliran pembelajaran yang relevan selain daripada keutamaan mereka iaitu bidang agama.

INSTITUSI tahfiz di negara ini perlu dilengkapi dengan aliran pembelajaran yang relevan selain daripada keutamaan mereka iaitu bidang agama.
INSTITUSI tahfiz di negara ini perlu dilengkapi dengan aliran pembelajaran yang relevan selain daripada keutamaan mereka iaitu bidang agama.

"Apabila saya diarahkan oleh Perdana Menteri (Datuk Seri Anwar Ibrahim) untuk penyelarasan maahad tahfiz ini, ia bukanlah tugas baru untuk saya sebaliknya saya sudah lakukan ketika saya (menjawat) Timbalan Perdana Menteri kali pertama dulu.

"Kita juga bekerjasama dengan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) dan Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) supaya lepasan maahad tahfiz ini mempunyai masa depan dalam bidang profesional sekali gus melanjutkan pengajian mereka," katanya.

Menurutnya, ia bukan soal 'air dan minyak', tetapi asimilasi boleh dilaksanakan daripada segi fikrah supaya seimbang (bidang pendidikan) daripada kehendak duniawi dan ukhrawi.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 19 Februari 2024 @ 1:46 PM