3,000 hingga 10,000 pengikut Syiah menyumbang kepada khumus. Gambar kecil, Abdullah Din. FOTO Nor Farhani Che Ad
3,000 hingga 10,000 pengikut Syiah menyumbang kepada khumus. Gambar kecil, Abdullah Din. FOTO Nor Farhani Che Ad
Muhaamad Hafis Nawawi dan Muhammad Saufi Hassan

Kuala Lumpur: Sekurang-kurangnya tiga hauzah (pusat ibadat) milik gerakan Syiah yang aktif di negara ini menerima sumbangan dana daripada pihak tertentu bagi mengembangkan ajaran terbabit serta melaksanakan pengkaderan dalam kalangan rakyat negara ini.

Dana berjumlah jutaan ringgit itu disalurkan pihak ketiga kepada hauzah milik gerakan terbabit bagi memudahkan proses rekrut anggota baharu, sekali gus menyemai ideologi fahaman mereka kepada umat Islam.

Wang itu juga dipercayai digunakan untuk membiayai aktiviti gerakan kumpulan berkenaan seperti melaksanakan dakwah jalanan sambil menerapkan ideologi Syiah termasuk melaksanakan aktiviti perniagaan dengan menggunakan pelbagai nama.

Perkara itu didedahkan Timbalan Yang Dipertua Persatuan Ulama Kedah, Ustaz Abdullah Din berdasarkan kajiannya serta maklumat diperoleh termasuk daripada bekas pengikut Syiah yang bertaubat.

Menurutnya, terdapat tiga hauzah paling aktif di negara ini yang terletak di beberapa negeri kerap menerima sumbangan kewangan daripada pihak ketiga dan secara tidak langsung membantu gerakan dakyah mereka.

“Tiga hauzah itu paling aktif di negara ini dan memiliki pengikut yang ramai. Menerusi hauzah ini, dana berkenaan diagihkan dalam pelbagai aktiviti untuk menyuburkan fahaman Syiah.

“Penyaluran wang dana ini dipanggil sebagai ‘khumus’. Ia pendapatan satu per lima daripada pengikut aliran itu di seluruh dunia dan wang sumbangan berkenaan diagihkan kepada hauzah setiap negara demi satu matlamat iaitu mengembangkan fahaman terbabit,” katanya.

Bagaimanapun, beliau percaya jumlah hauzah ini lebih banyak, namun mereka berselindung dengan pelbagai nama.

“Cuma, apa yang pasti tiga hauzah ini secara terang-terangan beroperasi dan mengembangkan aktiviti dakyah mereka,” katanya kepada Harian Metro.

Abdullah berkata, konsep khumus ini mirip kepada sistem zakat diguna pakai Ahli Sunnah Wal Jamaah (ASWJ), namun pengikut aliran ini menggunakan nama berbeza.

Melalui konsep khumus ini, pengikut perlu membayar satu per lima daripada pendapatan untuk disumbangkan kepada hauzah.

Abdullah berkata, berdasarkan kajian yang dilaksanakan mendapati pengikut Syiah di negara ini sekitar 3,000 hingga 10,000 orang dan setiap daripada mereka menyumbang kepada khumus ini.

Menurutnya, keadaan itu sangat membimbangkan kerana kewujudan aliran ini bukan saja mampu mewujudkan suasana tidak harmoni, malah menyuburkan pertelagahan antara pengikut mazhab seperti yang berlaku di Syria dan Yaman.

Beliau yang mengkaji aliran Syiah lebih 10 tahun lalu turut tidak menolak kemungkinan wujud potensi pengikut aliran itu bertukar kepada kumpulan pengganas jika memiliki kuasa dan persenjataan.

“Kita lihat saja apa yang berlaku di Yaman, mereka memiliki kuasa dan persenjataan dan akhirnya mencetuskan huru-hara dan saling berbunuhan antara pengikut Syiah dan ASWJ.

“Keadaan ini perlu kita tangani dan saya mengharapkan pihak berkuasa dapat melaksanakan pemantauan secara lebih serius terutamanya berkaitan dana disumbangkan pihak ketiga kepada hauzah yang berada di negara ini,” katanya.

Menurutnya, situasi sama turut berlaku di beberapa hauzah Syiah di Thailand apabila pihak berkuasa negara itu merekodkan jumlah transaksi pembiayaan dana bernilai jutaan Baht.

Katanya, maklumat pembiayaan dana itu diperoleh apabila ada pengikut aliran itu yang kembali ke pangkal jalan dan mendedahkan modus operandi gerakan itu.

40 hauzah terbuka sebar dakyah Syiah

Sebanyak 40 hauzah dikenal pasti di seluruh negara oleh pihak berkuasa dan pelbagai aktiviti turut dikesan dilaksanakan di lokasi terbabit termasuk proses pentarbiahan pengikut baru.

Jumlah itu lebih tinggi berbanding lima tahun lalu iaitu sekitar 15 hauzah saja di seluruh negara manakala aktiviti mereka juga lebih berselindung berbanding keadaan terkini apabila mereka terbuka dalam menyebarkan dakyah Syiah kepada orang awam.

Sumber Bukit Aman berkata, pihaknya juga mendapati pengikut aliran itu dianggarkan sekitar 5,000 hingga 10,000 dan ini mengikut taksiran dibuat menerusi anggaran kasar kumpulan aliran itu yang dikenal pasti.

“Dakwaan kumpulan Syiah bahawa mereka mempunyai pengikut mencecah puluhan ribu tidak boleh dinafikan kerana wujud kemungkinan masih ramai lagi menyembunyikan pegangan akidah mereka.

“Hasil kajian serta pemantauan dilaksanakan juga mendapati wujud empat kumpulan Syiah di negara ini dan setiap satu berbeza daripada bentuk fahaman, objektif dan akidah mereka.

“Mereka (pengikut Syiah) ini juga percaya untuk terus berkembang adalah memilih laluan politik selepas mereka menguasai segmen sosial dan ekonomi,” katanya kepada wartawan ketika dihubungi, semalam.

Sumber itu menjelaskan bahawa fokus utama golongan ini adalah menguasai bidang politik supaya gerakan mereka lebih terancang dan dapat berselindung.

Menurutnya, kepemimpinan Syiah dan pengikut aliran itu percaya mereka perlu berada dalam segmen politik bagi memastikan pengembangan doktrin ini dapat dilakukan dengan cepat dan pesat.

“Mereka juga berani menampilkan diri dalam melaksanakan kegiatan, malah ada program dibuat secara terbuka mempromosikan agenda Syiah,” katanya.

Katanya, pihak keselamatan juga mengesan pengikut aliran ini banyak melakukan aktiviti mereka di pusat ibadat atau hauzah seperti merayakan Hari Asyura, Hari Arbain dan beberapa program Syiah lain.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 25 November 2018 @ 11:01 AM