Redzuan Muharam

Kuala Lumpur: "Kami sekeluarga reda dengan ketentuan ini kerana tahu satu hari nanti pasti akan berpisah dengan adik.

"Cuma, emak saya yang paling sedih kerana terlalu sayangkan adik memandangkan sudah menjaganya sejak kecil lagi," kata Tuhfah Nazihah Md Tarmidi.

Tuhfah Nazihah, 25, meluahkan kesedihannya itu apabila adik angkatnya, Zubaidi Amir Qusyairi Abd Malek, 6, atau lebih mesra dipanggil Amir diserahkan semula kepada keluarga kandungnya.

Dalam satu video dimuat naik Tuhfah Nazihah di Facebook (Fb), ibunya, Norlida Hassan, 47, dan adik-beradiknya yang lain menangis sambil memeluk Amir ketika perpisahan itu.

Mereka dilihat menyampaikan pesanan terakhir kepada Amir sambil mencium pipinya.

Berkongsi kisah sebenar, Tuhfah Nazihah berkata, video itu dirakam Selasa lalu oleh adiknya, Tuhfah Nazira, 22.

"Pada malam itu, ibu kandung adik (Amir) datang ke rumah emak saya di Rawang ditemani suaminya untuk mengambil semula Amir.

"Mereka datang dengan mengejut dan itu yang membuatkan kami sekeluarga tidak bersedia kerana mengikut persetujuan sebelum ini, ibu kandung adik mahu mengambil adik apabila usianya 10 tahun.

"Namun, kami tidak dapat berbuat-apa kerana menghormati permintaan ibu kandung adik dan melepaskannya pergi walaupun dengan berat hati.

"Lagipun, niat asal kami hanya membantu menjaganya dan tidak pernah terlintas memisahkannya dengan keluarga kandung," katanya ketika dihubungi Harian Metro.

NORLIDA menangis memeluk Amir ketika perpisahan itu. FOTO Ihsan Tuhfah Nazihah Md Tarmidi
NORLIDA menangis memeluk Amir ketika perpisahan itu. FOTO Ihsan Tuhfah Nazihah Md Tarmidi

Menurut Tuhfah Nazihah, sehingga kini, ibunya masih bersedih kerana sudah lama menjaga Amir malah menyayanginya seperti anak kandung sendiri.

"Adik seorang yang ceria, petah berkata-kata dan cukup rapat dengan emak selain adik ketiga saya (Tuhfah Nazira).

"Jadi, pemergian adik memang memberi kesan terutama buat emak kerana kehadirannya selama ini menjadi penyeri serta penyejuk hati kami sekeluarga," katanya

Berkongsi perihal adik angkatnya itu,Tuhfah Nazihah berkata, Amir dijaga ibunya sejak berusia dua bulan.

"Tidak lama selepas tamat berpantang, ibu kandung adik yang juga rakan saya meminta bantuan untuk menjaga adik.

"Kebetulan, emak memang sukakan budak jadi dia tidak keberatan untuk menjaga adik.

"Emak sudah terangkan pada adik mengenai statusnya dan dia faham malah ia sedikitpun tidak membuatkannya berasa tersisih.

"Cuma, kami sangka dapat menjaganya lebih lama, sekurang-kurangnya sehingga dapat mengajarnya mengaji dan solat dengan betul tetapi hasrat itu tidak kesampaian," katanya.

Di sebalik perpisahan itu , Tuhfah Nazihah yakin Amir akan dijaga dengan baik oleh keluarga kandungnya.

"Adik kenal ibunya kerana kami sekeluarga pernah mempertemukan mereka beberapa kali sebelum ini terutama ketika Aidilfitri.

"Cuma, mungkin adik perlu membiasakan diri tinggal di rumah baharu ," katanya

GAMBAR kenangan Amir bersama keluarga Tuhfah Nazihah. FOTO Ihsan Tuhfah Nazihah Md Tarmidi
GAMBAR kenangan Amir bersama keluarga Tuhfah Nazihah. FOTO Ihsan Tuhfah Nazihah Md Tarmidi

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 16 Oktober 2020 @ 9:36 PM