Redzuan Muharam


Rawang: "Alhamdulillah, Ummi dan anak-anak berpeluang sekali lagi untuk menziarahi kubur Adik serta melepaskan rindu selepas lebih dua bulan dia meninggal dunia," kata Norlida Abu Hassan, ibu angkat kepada kanak-kanak lelaki dikenali Adik yang meninggal dunia dipercayai didera, 29 Januari lalu.

Kisah kematian Adik mendapat liputan meluas dengan ibu serta bapa tirinya sudah didakwa di Mahkamah Sesyen Melaka dan kes akan disebut semula pada 26 April ini.

Sebelum itu, Norlida, 50, mesra disapa Ummi dan arwah pernah menjadi tumpuan warganet berikutan hubungan erat kedua-duanya dan video perpisahan mereka tular ketika Adik perlu diserahkan keluarga kandung, beberapa bulan sebelum kematiannya.

Menurut wanita dari Bukit Sentosa di sini, dia serta empat anaknya ke pusara Adik di Tanah Perkuburan Islam Padang Lebar, Simpang Bekoh, Jasin, Melaka pada 4 April lalu selepas kebenaran merentas negeri daripada pihak polis.

"Ummi dan anak-anak keluar dari rumah kira-kira jam 11 pagi dan tiba di sana tiga jam kemudian. Kami meluangkan masa selama sejam di situ untuk membaca surah Yasin dan membersihkan pusara Adik.

"Jujurnya, Ummi tidak dapat menahan sebak sebaik tiba di pusaranya dan lama di situ sebelum pulang pada petang hari sama," katanya ketika dihubungi Harian Metro.

NORLIDA Abu Hassan menziarahi kubur anak angkatnya, Adik di Tanah Perkuburan Islam Padang Lebar, Simpang Bekoh, Jasin, Melaka. FOTO ihsan Norlida Abu Hassan
NORLIDA Abu Hassan menziarahi kubur anak angkatnya, Adik di Tanah Perkuburan Islam Padang Lebar, Simpang Bekoh, Jasin, Melaka. FOTO ihsan Norlida Abu Hassan

Gambar dia di pusara itu dikongsi anakya, Tuhfah Nazihah Md Tarmidi, 26, di Twitter, hari ini.

Katanya Norlida, sudah lama dia berhasrat menziarahi pusara Adik, namun tidak kesampaian kerana larangan merentas negeri disebabkan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB).

Dia bersyukur akhirnya memperoleh kesempatan itu yang sekali gus dapat melepaskan kerinduan terhadap anak jagaannya selama enam tahun.

"Kedatangan Ramadan ini lebih menggamit memori kerana saban tahun Adik ada bersama kami untuk menyambut Ramadan malah keletahnya yang menceriakan suasana.

"Adik suka ke bazar Ramadan, rajin menyusun cawan dan akan membacakan doa berbuka puasa namun kini semuanya tinggal kenangan," katanya yang sedih setiap kali teringat kenangan itu tetapi reda kerana Allah lebih menyayangi Adik.

Norlida bersyukur kerana ramai pihak yang mengambil berat dan prihatin dengan keluarganya sejak berita pemergian Adik mendapat liputan meluas, malah ada yang masih menghantar WhatsApp dan bertanya khabarnya.

"Terima kasih Ummi ucapkan dan diharap, orang ramai terus mendoakan Adik dan keadilan buat kesnya yang akan disebut semula pada 26 April depan," katanya.

Pada 30 Januari lalu, media melaporkan kematian Adik yang ditemui dalam tong air di rumah di Taman Krubong Jaya, Melaka, malah badannya turut mempunyai kesan cedera dan lebam.

Susulan itu, polis menahan bapa tiri dan ibu kandung mangsa 38 dan 32 tahun.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 9 April 2021 @ 1:47 PM