Noor Hidayah Tanzizi


Bangi: "Pada orang luar suami saya mungkin tak sempurna tetapi tidak untuk saya kerana dia sama saja seperti lelaki lain yang berdikari dan berkerja untuk menyara keluarga dengan usaha sendiri," kata Siti Nurul Nazihah Mat Rodi.

Siti Nurul Nazihah, 23, memilih lelaki kurang upaya (OKU), Aniq Hazimin Sahal, 24, yang lumpuh kedua-dua kaki sebagai suami dan mereka berkahwin pada 8 Oktober lalu.

Peniaga dalam talian yang juga pereka bentuk bebas itu berkata, dia mengenali Aniq Hazimin ketika mereka melanjutkan pelajaran di Universiti Teknologi MARA (UiTM) Shah Alam dalam bidang animasi pada 2018.

Menurutnya, ketika itu suaminya sudah berstatus OKU dan menggunakan kerusi roda selepas terbabit kemalangan apabila motosikal diboncengnya berlanggar dengan kereta di Kelantan pada 2016.

"Kami mengambil jurusan sama iaitu animasi dan ada sebahagian kelas kami sama jadi saya selalu berjumpa suami. Kami berkawan dan berkahwin selepas tamat belajar.

"Saya sudah mengenalinya hampir lima tahun dan sepanjang tempoh itu melihat sendiri dia tidak pernah mengalah dalam hidupnya dan berdikari. Ini membuatkan saya yakin untuk hidup bersama," katanya ketika dihubungi, hari ini.

SITI Nurul Nazihah bersama suaminya, Aniq Hazimin. FOTO Ihsan Pembaca
SITI Nurul Nazihah bersama suaminya, Aniq Hazimin. FOTO Ihsan Pembaca

Menurutnya, sikap suaminya yang berdikari dan berkeyakinan menyebabkannya tertarik dengan personaliti lelaki itu biarpun pilihannya itu pernah dipersoalkan orang luar, namun mengakui tidak pernah terasa hati dengan persoalan itu.

"Pernah juga ada orang luar yang tanya boleh ke suami saya berkerja dan mencari rezeki dengan keadaannya itu. Aniq Hazimin sama saja seperti insan normal lain biarpun pergerakan terbatas.

"Dia boleh memandu sendiri kereta Proton Saga yang sudah diubah suai dan semua kerja juga dilakukan sendiri, malah dia menjaga saya ketika tidak sihat dengan baik seperti insan normal," katanya yang tinggal di Desa Mahkota, di sini.

Katanya, keluarganya juga tidak membantah dan mempersoalkan pilihannya itu, malah memberi sokongan sepenuhnya kepada mereka.

"Saya juga tidak kisah dengan soalan atau komen yang kurang positif kerana paling penting semua keluarga saya menerimanya.

"Apabila duduk bersama komuniti OKU, saya rasa mereka sangat positif dan hebat kerana dapat mengatasi kekurangan diri untuk menjalani kehidupan normal macam orang lain," katanya.

SITI Nurul Nazihah bersama suaminya, Aniq Hazimin. FOTO Ihsan Pembaca
SITI Nurul Nazihah bersama suaminya, Aniq Hazimin. FOTO Ihsan Pembaca

Berhubung video perkahwinannya yang mendapat perhatian warganet di TikTok selepas dimuat naik jurugambar mereka, Nor Ammirul Syafiq baru-baru ini, Siti Nurul Nazihah berkata, dia dan suami berterima kasih dengan reaksi positif dan titipan doa buat mereka.

Sementara itu, Aniq Hazimin berkata, dia juga berterima kasih kepada isteri serta keluarga mentua yang menerima dirinya yang lumpuh selepas tulang belakang dan saraf tunjangnya cedera akibat kemalangan enam tahun lalu.

"Saya mengambil masa juga untuk mengadaptasi kehidupan baharu sebelum ini dan tak sangka bertemu jodoh dengan insan normal yang sudi menerima kekurangan diri.

"Walaupun OKU saya mempunyai tekad untuk tidak membebankan orang sekeliling dan berusaha dengan diri sendiri. Saya kini berkerja sebagai penyunting grafik di sebuah syarikat animasi.

"Saya pergi kerja memandu sendiri dengan kereta yang diubah suai supaya boleh menekan pedal minyak dan brek dengan tangan," katanya yang sebelum ini pernah mewakili Kuala Lumpur dalam acara boling pada Para Sukma 2018.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 3 Disember 2022 @ 8:05 PM